SUAMI kepada pelakon Lufya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum menyelar tindakan isterinya yang berterusan memberi kenyataan mengenai isu rumah tangga mereka kepada umum. Menurut Che Muhammad Hafiz, tindakan tidak matang Lufya itu dilihat sekadar untuk meraih simpati masyarakat semata-mata. “Sudah-sudahlah drama... lambat atau cepat orang akan tahu juga kebenarannya dan saya masih ada tahap kesabaran, boleh berfikir secara waras. ARTIKEL BERKAITAN: Dr Che Hafiz buat laporan polis terhadap Lufya - “Semua tuduhan terhadap saya tidak benar dan keterlaluan!” ARTIKEL BERKAITAN: “Belajar agama bukan untuk menunjuk-nunjuk” - Status Dr Che Hafiz sindir Lufya “Saya fikirkan dia ibu kepada anak saya jadi tidak patut untuk saya bertindak seperti mana yang dilakukannya sekarang... tapi kalau dengan cara itu dia berasa puas dan dapat malukan saya, terpulanglah. “Dia aibkan saya, saya diam. Dia buat dakwaan bukan-bukan, saya masih diam. Malah, dia lebih banyak buka aib rumah tangga,” katanya menerusi satu kenyataan media kepada mStar. Hafiz telah membuat laporan polis terhadap isterinya yang juga pelakon, Lufya. Terdahulu, masalah rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian netizen apabila Lufya mendedahkan sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga di laman Instagram. Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar juga mendakwa suaminya itu telah melakukan penganiayaan terhadap dirinya. Perkongsian itu dibuat Lufya berikutan sudah tidak mampu menahan perasaan kecewa terhadap suami yang mengabaikan haknya sebagai seorang isteri selepas tiga bulan berkahwin. Sementara itu, Hafiz sebelum ini mendedahkan dia sudah menceraikan isterinya itu menerusi aplikasi Whatsapp atas permintaan Lufya sendiri. Bagaimanapun, dinafikan Lufya yang mendakwa dia tidak menerima sebarang mesej lafaz cerai dari suaminya itu. Perkara yang berlaku adalah membabitkan hubungan kekeluargaan antara suami dan isteri. Saya percaya adalah lebih baik diselesaikan dengan baik tanpa perlu membuka aib mana-mana pihak! CHE MUHAMMAD HAFIZ Suami Lufya Meskipun rumah tangganya sedang dilanda badai, Che Muhammad Hafiz memberitahu dia tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap anak tunggal mereka iaitu Laana Haura. “Mengenai anak kami, tidak mengapa dia masih mempunyai hak dan saya tidak pernah lupa tanggungjawab saya pada anak. “Apa yang penting, saya dan keluarga tahu. Macam dikatakan sebelum ini, biarlah mahkamah yang membuat keputusan,” ujarnya. Sementara itu, Che Muhammad Hafiz turut berpendapat isu membabitkan hubungan suami dan isteri ini haruslah diselesaikan secara berhemah tanpa melibatkan mana-mana pihak. “Perkara yang berlaku adalah membabitkan hubungan kekeluargaan antara suami dan isteri. Saya percaya adalah lebih baik diselesaikan dengan baik tanpa perlu membuka aib mana-mana pihak. “Dia kata dia cuba nak berbaik dan menjadi kawan demi anak. Tapi, tidakkah dia berfikir apa yang dia sudah buat pada saya? Dia mengaibkan saya dan menjejaskan kehidupan kami yang sepatutnya boleh diselesaikan secara harmoni,” katanya. Pasangan itu berkahwin pada 26 November 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.