suria

“Saya beri nafkah kepada anak-anak setiap bulan tanpa gagal” - Aidil Zafuan kesal tuduhan tak berasas, ada bukti pembayaran dalam akaun!

Aidil Zafuan ada bukti pembayaran, tidak pernah culas bayar nafkah anak setiap bulan.

BENGANG dengan dakwaan tidak membayar nafkah anak, bekas suami pelakon Rita Rudaini, Aidil Zafuan Abdul Radzak tampil menafikan sekeras-kerasnya perkara berkenaan.

Pemain kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) ini menjelaskan, dia menjalankan tanggungjawab dua cahaya matanya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, tanpa gagal pada setiap bulan seperti ditetapkan mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Rita Rudaini ‘keluar pagi balik malam’ cari duit untuk anak-anak - “Jangan nanti bila dah berjaya ada pula orang kata dia punya jasa”

"Untuk pengetahuan semua, kenyataan ini bukanlah untuk mengeruhkan keadaan mahu pun mencari kesalahan sesiapa.

"Sudah cukup saya berdiam diri selama ini.

"Ingin saya nyatakan yang selama ini saya telah memberi nafkah kepada anak-anak saya pada setiap bulan tanpa gagal seperti yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah," katanya dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad.

Minggu lalu, Rita mendedahkan bahawa bapa kepada anak-anaknya itu telah meletakkan nama kedua-dua anak mereka dalam borang tuntutan pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Aidil Zafuan menjelaskan mengenai pembayaran nafkah kepada anak-anaknya.

Pemain berusia 34 tahun itu juga menjelaskan bahawa bekas isterinya tahu mengenai perkara tersebut malah dia juga menyimpan bukti pembayaran nafkah bulanan dan berhak menyatakan setiap tanggungannya kepada LHDN.

Dia juga terkilan, apabila pihak Rita Rudaini tidak menjelaskan perkara sebenar sehingga menimbulkan salah faham dan spekulasi buruk yang menjejaskan nama dan kerjayanya.

"Saya ada semua bukti pembayaran ke dalam akaun. Seharusnya pihak di sebelah sana sedia maklum nafkah telah pun diterima setiap bulan.

"Saya difahamkan daripada tuduhan orang ramai yang mengatakan saya tidak pernah memberi nafkah dan saya juga difahamkan pihak di sebelah sana tidak menerangkan perkara yang sebenar sehingga menimbulkan keraguan orang ramai terhadap saya.

"Mereka mengatakan saya bapa yang langsung tidak menjalankan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anak," ujarnya.

Susulan tuduhan tersebut, Aidil berkata dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang bentuk fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya selepas ini.

Saya ada semua bukti pembayaran ke dalam akaun. Seharusnya pihak di sebelah sana sedia maklum nafkah telah pun diterima setiap bulan.

AIDIL ZAFUAN

BEKAS SUAMI RITA RUDAINI

Dia juga menasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas dan berbaur fitnah.

"Saya harap anda semua jelas dengan penjelasan saya. Saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lagi selepas ini dan saya akan serahkan semua kepada peguam saya untuk tindakan lanjut.

"Berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata yang anda sendiri tidak pasti yang boleh menjatuhkan fitnah," katanya.

Anak-anak berada di bawah jagaan Rita Rudaini.

Untuk rekod pada tahun 2017, Mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015, manakala untuk tuntutan mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.

Aidil berkahwin dengan Rita pada 2008 namun bercerai pada September 2013.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, yang kini di bawah jagaan Rita.

Artikel Lain