PELAWAK Ali Puteh gagal dalam rayuan untuk mengetepikan perintah mahkamah berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada kakak iparnya iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana memfitnahnya di media sosial, dua tahun lepas. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan,34, untuk mengetepikan saman fitnah itu. Selain itu, mahkamah turut menolak rayuan Ali dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan samannya terhadap Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube usahawan kosmetik itu. Ali sebelum ini diarahakan membayar saman berjumlah RM60,000. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam yang mewakili Ali iaitu Noorazmir Zakaria, pihaknya menerima keputusan mahkamah itu dan dalam masa sama belum menerima arahan dari anak guamnya untuk mengemukan rayuan. "Kami menerima keputusan mahkamah," katanya. Prosiding tersebut dilakukan secara atas talian pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ali Puteh mahu rayu batal keputusan kemenangan Nor Hidayah, dakwa wujud fakta tak betul ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nor Hidayah balu Abam menang kes saman fitnah, Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 Isu antara Ali dan Hidayah mula timbul apabila balu kepada Allahyarham Abam Bocey itu mengemukakan saman terhadap adik iparnya atas dakwaan perkongsian Ali di laman sosial telah menjatuhkan maruahnya. Antara perkongsian tersebut adalah menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya. Pada 18 Feb lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Hidayah terhadap Ali. Sementara itu, penglibatan Aliff pula dikatakan sengaja mahu berkonspirasi sedangkan temubual usahawan tersebut bersama Hidayah adalah bertujuan membantu isteri arwah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI