KENYATAAN pelakon Sharnaaz Ahmad yang mendakwa banyak syarikat produksi meminta pelakon bekerja lebih masa sehingga 20 jam sehari telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penerbit. Bagi Fadzil Teh dari Zeel Productions, isu tersebut bukanlah selalu terjadi namun kadang-kala tidak dapat dielakkan dek kerana mahu mengejar waktu tayangan di televisyen. "Saya secara peribadi memang tak suka dengan cara kerja lebih masa dan telah tetapkan semua penggambaran harus berakhir pada pukul 11 malam. Namun kadang-kala ada juga 'tergelincir'. Fadzil juga melihat sikap pelakon sebagai satu punca penggambaran makan masa lama. "Masalah tersebut berlaku disebabkan produksi nak kejar waktu tayangan apabila di beri kerja saat-saat akhir. Maka dalam keadaan sebegitu pihak produksi terpaksa lakukan penggambaran lebih masa "Selain itu proses penggambaran itu juga kita tak boleh jangka dan mungkin ada masalah berlaku sehingga perlu habis lewat malam," katanya kepada mStar. Dalam masa sama Fadzil atau mesra disapa Haji Zil juga tidak menolak masalah sedemikian berpunca dari sikap pelakon sendiri yang suka mengambil terlalu banyak tawaran kerja dalam satu masa. ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad bengang penerbit tamak ‘lenjan’ artis kerja 20 jam sehari... “Minta pantau produksi jahanamkan industri” ARTIKEL BERKAITAN: Fadzil Teh senada dengan A. Aida, pilihan pelakon bukan kuasa penerbit tapi stesen TV Justeru itu, isu sebegini tidak seharusnya diletakkan terus kepada pihak produksi. "Ada juga masalah timbul disebabkan jadual artis. Mereka ambil banyak job sehingga menyebabkan datang lewat ke satu lokasi. Jadi susah untuk kami mahu susun jadual penggambaran. "Isu kebajikan artis ini adalah sangat besar dan kami bukan sahaja utamakan pelakon, sebaliknya semua kru produksi harus diberi perhatian," jelasnya. Isu ini sangat subjektif dan tak semua produksi bersalah JAJA ISHAK PENERBIT Sementara itu, bagi Jaja Ishak dari Kembara Sufi Sdn Bhd, pihak produksi sepatutnya dari awal lagi sudah menyusun jadual dengan baik agar isu berkaitan tidak diperkatakan. Jaja sebagai penerbit berkata dia akan menetapkan satu hari cuti jika penggambaran drama itu memakan masa lama sehingga berminggu-minggu. "Pelakon pun tak boleh nak 'pukul rata' dan salah semua produksi. Isu ini sangat subjektif dan tak semua produksi bersalah. Sebagai penerbit saya juga amat pentingkan kebajikan pelakon kerana kalau sekali buat salah pasti mereka tidak mahu lagi beri kerjasama. Jaja sentiasa berpesan kepada produksi supaya menyusun jadual dengan baik. "Dalam isu ini produksi haruslah susun jadual dengan betul dan rancang mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Saya tidak akan benarkan penggambaran yang makan mana terlalu lama. Jika berlarutan seminggu saya akan beri sehari untuk cuti rehat," jelasnya. Berbeza pula dengan Datuk A. Aida yang bersetuju kesalahan tersebut diletakkan kepada pihak produksi di mana baginya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. A. Aida yang merupakan penerbit dari A. Aida Productions berkata rehat yang cukup amat diperlukan untuk pelakon dan kru produksi bagi meneruskan kerja mereka keesokaan harinya. A. Aida salahkan penerbit tidak pantau jadual kerja. "Memang tak masuk akal kalau kerja lebih 20 jam. Itu memang salah produksi. Tetapi perkara sebegini tidak berlaku dalam drama saya! "Kalau kerja terlalu lama, macam mana dengan mode pelakon dan kru produksi? Mereka akan jadi lembik dan ia memberi kesan kepada hasil kerja. "Jika itu ini berlaku memang salah produser kerana membenarkan pasukannya kerja lebih masa," jelasnya. Sebelum ini, Sharnaaz menerusi Instastory meminta pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk memantau waktu kerja yang telah artis dan kru yang melebihi 12 jam sehari. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI