suria

Awesome TV minta Fahmi Fadzil tidak masuk campur soal bayaran tertunggak

Awesome TV minta menteri tidak mencampuri hal stesen TV.

KETIKA Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menasihati agar Awesome TV menyelesaikan soal bayaran tertunggak kepada syarikat produksi secara baik, lain pula reaksi stesen televisyen itu.

Awesome TV dalam kenyataan balas meminta Fahmi agar tidak mencampuri urusan hal hal komersial stesen televisyen itu dengan pembekal kandungan.

Pengurusan Awesome TV menegaskan hal pembayaran adalah tanggungjawab syarikat perantaraan atau ejen yang dilantik dan bukannya stesen televisyen.

awe1

Pihak Awesome TV beri kenyataan balas.

"Kami dengan tegas membantah kenyataan tentang Awesome TV yang dikeluarkan oleh Fahmi baru-baru ini. Menteri tidak seharusnya mencampuri hal-hal komersial stesen TV dengan pembekal-pembekalnya.

"Untuk pencerahan, kami ingin membuat kenyataan bahawa pihak yang bertanggungjawab untuk produksi rancangan televisyen dan juga hal-hal pembayaran kepada syarikat-syarikat produksi adalah syarikat perantaraan atau ejen yang dilantik oleh pihak stesen televisyen, dan bukannya stesen televisyen," kata pihak stesen televisyen itu dalam satu kenyataan kepada mStar pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri gesa Awesome TV selesai hutang tertunggak, arah SKMM terus pantau

ARTIKEL BERKAITAN: Norlia Ghani, Azrel Ismail diminta mohon maaf, Awesome TV tiada kena mengena isu bayaran tertunggak

Dalam pada itu, Awesome TV juga menjelaskan pihaknya tidak pernah berurusan dengan My Creative Venture Sdn Bhd seperti disentuh oleh Fahmi.

Kata kenyataan itu lagi, tidak wajar sekiranya menteri atau pihak My Creative membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen itu.

"Selaku stesen televisyen yang berpegang teguh dengan prinsip integriti, Awesome TV telah menjalankan operasi syarikat dengan mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan imej Awesome TV dengan tidak adil.

"Sebagai menteri, Fahmi sewajarnya membuat kajian lanjut terutamanya dengan Awesome TV dan tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif serta tidak adil kepada Awesome TV," ujarnya.

Sementara itu, stesen TV tersebut juga berharap agar masyarakat dapat memahami situasi sebenar dan tidak membuat penilaian yang boleh menyebabkan fitnah.

"Kami berharap agar masyarakat dapat memahami sepenuhnya konteks sebenar dan tidak membuat penilaian yang boleh mengakibatkan fitnah.

"Kami tetap berkomitmen untuk memberikan kandungan berkualiti tinggi dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada industri penyiaran," katanya.

aa

Fahmi ketika ditemui pada sesi Town Hall Industri Kreatif.

Pada Isnin, Fahmi menggesa stesen Awesome TV segera menyelesaikan isu bayaran tertunggak secara baik seperti mana yang disuarakan banyak pihak sebelum ini.

Fahmi yang ditemui selepas sesi Town Hall Industri Kreatif Bersama Menteri yang berlangsung di Kuala Lumpur juga berharap perkara terbabit dapat diselesaikan tanpa melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

Untuk rekod, sebelum ini beberapa syarikat produksi dan rakan artis menyuara rasa tidak puas hati terhadap Awesome TV kerana gagal melunaskan bayaran terhadap mereka.

Kementerian Komunikasi dan Digital juga agensi yang terlibat mengeluarkan lesen penyiaran stesen televisyen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain