PELAWAK dan usahawan Shuib tidak menolak dakwaan berlaku masalah culas membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kaki tangan syarikat minuman Bubble Bee yang diasaskan sejak awal tahun ini. Shuib atau Shamira Muhamad, 39, bagaimanapun menjelaskan masalah itu timbul disebabkan berlakunya salah urus dalam syarikat oleh pengurusan sebelum ini. Pun begitu, Shuib menjelaskan pihaknya tidak berdiam diri sebaliknya sudah bertindak dengan mengadakan rundingan dengan pihak KWSP bagi menyelesaikan isu bayaran caruman pekerja yang tertunggak. "Kami akui Bubble Bee ada 'sangkut' KWSP, cuma saya nak buat pencerahan apabila kenyataan tular itu seolah-olah memang langsung tidak mengendahkan tentang KWSP pekerja. Shuib tampil menjelaskan perkara sebenar. "Awal tahun ini kami berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pihak mereka tentang tunggakan caruman yang mana kami tidak dapat bayar sekali gus. "Kami buat rundingan untuk bayar secara ansuran sebab itu adalah tanggungjawab syarikat. Alhamdulillah kami pun ada buat sebahagian pembayaran (tunggakan)," jelasnya. Shuib menjelaskan perkara itu menerusi hantaran video di Instagram miliknya pada malam Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Fitnah dah lama kenal Shuib sebelum pemergian Siti Sarah... Watie tunjuk bukti suami hantar DM mengurat ARTIKEL BERKAITAN: Shuib marah pembantu rumah alih baju terakhir Siti Sarah, simpan buat pelepas rindu Dalam pada itu, Shuib menjelaskan dia yang juga pengasas jenama itu bersama rakan kongsi mengambil alih urusan syarikat sepenuhnya sejak November 2022 selepas mendapati pengurusan terdahulu mengalami masalah. "Daripada awal bermulanya Bubble Bee saya memegang jawatan sebagai ketua pemasaran tetapi saya tidak menjaga bahagian lain termasuk kewangan. "Sampailah tahun ketiga saya dapati Bubble Bee mempunyai masalah pengurusan... Memang kami mendapat keuntungan yang tinggi tetapi apabila berlaku salah laku dalam pengurusan, banyak masalah berlaku. "Pada November tahun lalu, saya dan rakan kongsi boleh dikatakan mengambil alih semuanya," katanya. Akui Shuib, 2023 bukan tahun yang baik buat perniagaan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) kerana mengalami penurunan jualan selain terpaksa berdepan dengan masalah pengurusan terdahulu. Malah kata Shuib, ramai tidak mengetahui dia sendiri terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri bagi menyelesaikan masalah syarikat. Tambahnya lagi, sejak perniagaan itu beroperasi, pihaknya tidak pernah culas membayar gaji pekerja malah tidak memotong gaji sewaktu negara berdepan wabak Covid-19. "Sepanjang kami beroperasi kita lalui saat genting sewaktu PKP kami tidak pernah potong gaji pekerja. Sampai sekarang pun kami tidak pernah tidak membayar gaji pekerja. Shuib akui perniagaannya mengalami kerugian tahun ini. "Kalau kata pengasasnya hidup mewah, takkan saya nak kena cakap berapa banyak duit sendiri yang saya dah keluarkan untuk Bubble Bee. "Saya anggap ini adalah satu dugaan dalam perniagaan yang perlu saya lalui. Kami percaya Bubble Bee boleh pergi sangat jauh dengan pengurusan yang betul," katanya. Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok berkenaan dakwaan seorang individu mendakwa syarikat Bubble Bee tidak membayar caruman KWSP pekerja sejak awal tahun 2023. Tidak hanya itu, individu tersebut turut mendakwa berlakunya kelewatan pembayaran gaji serta elaun kerja lebih masa pekerja Bubble Bee. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!