suria

Perbuatan Sarah Yasmine tetap salah, Erma Fatima mohon maaf kepada penduduk Singapura

Erma tetap dengan pendirian Sarah menjatuhkan maruah seorang perempuan.

PENERBIT Erma Fatima tampil membuat permohonan maaf berhubung kenyataan terhadap kekasih gelap Aliff Aziz yang didakwa terdapat unsur cuba melaga-lagakan masyarakat Malaysia dan Singapura.

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, bagaimanapun tetap dengan pendirian perbuatan wanita asal Singapura iaitu Sarah Yasmine mendedahkan aib artis dan kaum wanita adalah menjatuhkan maruah.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Saya terima kalau ada yang tidak puas hati dengan kenyataan saya.

NP-49

Erma tidak setuju cara Sarah mengaibkan artis di media sosial.

“Saya minta maaf kalau ia mengguris hati orang Singapura, tapi saya tetap dengan pendirian perbuatan perempuan itu (Sarah Yasmine) menjatuhkan maruah orang seni dan maruah perempuan,” katanya.

Erma berkongsi permohonan maafnya yang dibaca pengacara Roslan Shah menerusi video siaran langsung di Instagram miliknya pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Erma yang turut menghantar pesanan melalui mesej kepada Roslan berkata, peguamnya tidak membenarkan dia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

Jelasnya, dia tidak bermusuhan dengan rakyat Singapura dan kenyataan dibuat hanya ditujukan kepada Sarah.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Berambus! Settle negara kau”... Erma Fatima minta Sarah Yasmine henti ‘kenduri’ sebar aib, desak SKMM ambil tindakan

ARTIKEL BERKAITAN: Sarah Yasmine didesak tidak keruhkan keadaan, jangan rosakkan imej artis Malaysia

“Salam Lan, Erma minta maaf sebab peguam saya tak benarkan buat apa-apa kenyataan tentang isu ini.

“Yang pasti saya tidak bermusuh dengan warga Singapura, saya tidak suka dengan cara perempuan itu mengaibkan orang yang tiada kena mengena dalam kes Aliff.

“Tiada sebab saya nak bermusuh dengan orang Singapura, saya bawa masuk Aaron Aziz dan Adi Putra ke industri ini dan mereka diterima sebab kelakuan mereka baik,” jelasnya.

Sebelum ini, kenyataan Erma meminta Sarah berambus dan menyelesaikan konflik mengenai isu Aliff di negara asalnya mendapat perhatian umum.

NP-48

Roslan cuba menjernihkan hubungan Singapura dan Malaysia.

Gara-gara perkara itu, Erma dituduh bermain sentimen negara sehingga mengakibatkan warga Singapura berasa marah dengan kenyataannya yang disifatkan sebagai kasar.

Pada 22 April lalu, Sarah muncul mendedahkan dia ada kekasih Aliff sejak Januari lalu selepas tidak tahan melihat pelakon itu teruk dikecam susulan dicekup berkhalwat dengan aktres Ruhainies pada 9 Mac lalu.

Sejak itu, Sarah mula mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan dipercayai di antara Aliff dan wanita dinamakan sebagai ‘NRF’ di Instagram miliknya.

Pendedahan perbualan itu turut mengaitkan nama beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen sehingga ada di antara mereka berbalas kenyataan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain