suria

[V] Puas hati bekas isteri tarik balik kes pukul, kesihatan mental Hafidz Roshdi sudah pulih

PELAKON Hafidz Roshdi berpuas hati dengan keputusan bekas isterinya, Nurul Shuhada menarik semula kes pukul yang difailkan terhadapnya sebelum ini.

Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 30, berkata, mereka juga sudah bersetuju untuk berdamai dan keputusan tersebut dibuat tanpa paksaan sesiapa.

“Alhamdulilah saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini.

hafidz roshdi 3

Hafidz dan Shuhada capat kata sepakat mahu berdamai.

“Tiada sebarang isu atau provokasi mana-mana pihak sebab kami setuju berdamai secara baik,” kata Hafidz kepada pemberita.

Hafidz mengulas perkara itu ketika ditemui selepas sebutan kes tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Hafidz turut memberitahu dia juga kini sudah pulih daripada masalah kesihatan mental yang dihadapi sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafidz Roshdi nampak ceria, isteri hadir beri sokongan sebutan kes pukul Shuhada

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada paksaan atau provokasi, bekas isteri tarik balik kes pukul terhadap Hafidz Roshdi

Kata Hafidz dia juga tidak pernah terlepas menjalani rawatan susulan bagi memulihkan kembali tahap kesihatan mentalnya di Hospital Shah Alam.

"Tak ada dah, Alhamdulillah sebab sekarang ini selalu minta nasihat doktor setiap bulan.

"Saya tak pernah terlepas mendapatkan rawatan di hospital dan selalu kemas kini tahap kesihatan kepada doktor," katanya.

Kami setuju berdamai secara baik

HAFIDZ ROSHDI

PELAKON

Dalam perkembangan lain, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan bagi mendengar semula laporan penarikan kes tersebut selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan merujuk kepada pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.

Majistret Siti Fatimah Talib membenarkan pemintaan pihak pendakwaan untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama dua minggu bagi mendapatkan kenyataan tambahan daripada Shuhada berhubung penarikan kes.

Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, bagaimanapun tidak hadir pada sebutan kes tersebut kerana mengalami masalah kesihatan.

hafidz roshdi 2

Hafidz memberitahu dirinya kini dalam keadaan baik.

Pada 13 Mac tahun lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya (ketika kejadian) sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk Shuhada sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 3.22 pagi pada 2 Mac tahun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

shu 11

Kesan parut di muka Shuhada akibat dipukul Hafidz.

Hafidz kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.

Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai pada Julai tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain