suria

Harith Iskander jawab tuduhan model Nadira Isaac punca cerai, anggap ada pihak cuba ambil kesempatan

DITUDUH mempunyai hubungan bersama seorang model dan ratu cantik Nadira Isaac, pelakon dan pelawak Harith Iskander tampil menjawab spekulasi tersebut.

Kata Harith atau Harith Iskander Musa, 58, perkara tersebut hanyalah gosip semata-mata bagi meraih perhatian orang ramai.

Harith menjelaskan, dia pada awalnya tidak mengetahui berkenaan gosip tersebut sehingga dimaklumkan bekas isterinya iaitu Dr Jezamine Lim.

"Ikhlas saya cakap, saya tak baca apa-apa cerita daripada netizen. Bagi saya ada orang yang ingin mengambil kesempatan untuk dapatkan perhatian buat diri mereka.

Harith Jezamine

Dr Jezamine masih menguruskan karier bekas suaminya.

"Bagi saya benda-bensa macam ini akan panas sekejap dan kemudiannya 'mati' terus," katanya kepada mStar.

Harith menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas perbicaraan kes hadanah dan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Dr Jezamine, 41, pula memberitahu Nadira merupakan kenalannya namun model cantik itu bukan punca kepada penceraiannya dengan Harith.

“Itu hanya spekulasi, jangan ambil serius. Janganlah tumpu perhatian pada dia, buang masa saya sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri dapat hak penjagaan penuh anak-anak, Dr Jezamine masih urus karier Harith Iskander

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sudah tiada persefahaman, Harith Iskander dan Dr Jezamine Lim sah bercerai talak satu

“Kami hanya kenal-kenal, bukan kawan. Jumpa di acara, hanya 'hi bye' sahaja. Bukan macam duduk lepak dan keluar bersama,” ujarnya.

Turut bersetuju bahawa perkara tersebut ibarat menangguk di air yang keruh, Dr Jezamine secara sinis memaklumkan dia kini sedar siapa kawan dan juga lawan.

“Pada saya, bila isu ini mendapat perhatian media, ramai yang nak mengambil kesempatan. Jadi, sekarang ini saya sudah tahu siapa kawan sebenarnya dan siapa mahu meraih perhatian media,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah Nadira menghubunginya selepas gosip tersebut timbul, usahawan itu berkata, dia tidak mahu berhubung dengan mana-mana individu yang mendatangkan aura negatif dalam kehidupannya.

Benda-benda macam ini akan panas sekejap dan kemudiannya 'mati' terus.

HARITH ISKANDER

PELAWAK

“Saya tak nak berhubung dengan sesiapa (selepas penceraian) kerana saya dan Harith tidak mahu mempunyai hubungan dengan mana-mana individu yang negatif.

“Kalau kita tahu seseorang itu begitu (negatif), jadi lebih baik jauh saja dari mereka,” ujarnya.

Sebelum ini timbul spekulasi yang mengatakan Nadira merupakan punca kepada penceraian Harith dan Dr Jezamine.

Menjawab isu berkenaan, Nadira menafikan tuduhan tidak berasas tersebut dan memaklumkan dia langsung tidak ada kaitan dengan perceraian pasangan itu.

Nadira Isaac

Nadira juga menyangkal dakwaan mempunyai hubungan dengan Harith.

Untuk rekod, Harith dan Dr Jezamine sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu.

Penceraian tersebut berlaku disebabkan tiada lagi persefahaman di antara mereka berdua.

Untuk rekod, Harith dan Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.

Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, yang berusia 9 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain