TEMAN wanita Allahyarham Nidza Afham dikenali sebagai Hazmiera berada dalam keadaan tidak stabil susulan masih belum dapat menerima hakikat pemergian penyanyi berkenaan. Adik Allahyarham iaitu Nur Aufahanie Mokhtar, 21, berkata, wanita berkenaan adalah orang terakhir yang menerima mesej dan individu pertama mendapat tahu kehilangan Nidza. Disebabkan Hazmiera juga kata Aufa, mereka sekeluarga bertindak pantas mencari arwah sejak awal pagi Rabu. "Dia (Hazmiera) tidak jangka langsung dan dia adalah orang terakhir dapat mesej daripada abang (Nidza) dan orang pertama tahu dia hilang. Aufa reda dengan pemergian abang tersayang. "Kalau bukan sebab dia, kami sekeluarga pun tak sedar arwah hilang tapi disebabkan teman wanitanya, kami bertindak pantas mencarinya. "Keadaan dia tidak stabil dan beremosi, dia sekarang ada dengan ibu kami," katanya kepada mStar. Aufa berkongsi perkara itu ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam pada pagi Khamis. Ketika ini, jenazah Allahyarham sedang menjalani prosedur bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam di Shah Alam dijangka selepas solat Asar. ARTIKEL BERKAITAN: Abang ipar kongsi detik buat pengecaman mayat, cam wajah dan jersi dipakai Nidza Afham ARTIKEL BERKAITAN: Aufahanie mohon henti sebar foto arwah abang, hormat perasaan keluarga Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan kad debit milik arwah yang hilang dikatakan dijumpai di rumah, Aufa tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya. Bagaimanapun, Aufa memaklumkan tiga ahli keluarganya iatu bapa, adik dan abang iparnya dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. "Sekarang soal siasat sedang dilakukan sama ada kejadian ada unsur jenayah atau pun sebaliknya. "Ayah, adik dan abang ipar dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan. Aufa dan Nidza mempunyai hubungan rapat. "Berkenaan kad debit, saya sendiri tidak mempunyai maklumat mengenainya," katanya. Pada Rabu, Aufa berkongsi berita kehilangan Nidza yang memohon orang ramai mengesan atau memberi sebarang maklumat dalam usaha menjejakinya. Bagaimanapun tidak sampai 24 jam pencarian, mayat Nidza ditemukan sekitar pukul 7 petang kira-kira satu kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang di jambatan Sungai Klang. Penemuan itu turut disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan selain pengecaman mayat dibuat oleh ahli keluarga berdasarkan wajah dan baju jersi dipakai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!