suria

Aktres popular bengang pergolakan rumah tangga didedah kepada ibu, pembantu peribadi dapat habuan penumbuk

Pelakon wanita didakwa memukul pembantu peribadi.

SEORANG pelakon wanita didakwa berang lalu memukul pembantu peribadinya kerana bertindak mendedahkan masalah rumah tangganya kepada ibu aktres itu.

Difahamkan, rumah tangga pelakon wanita itu bersama suaminya, juga seorang artis popular sedang bergelora dan mereka cuba menyembunyikan hal tersebut daripada pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat.

Kakak kepada pembantu peribadi yang meminta tidak didedahkan identitinya mendakwa, adiknya itu dipukul sebanyak dua kali termasuk di hadapan ibu pelakon wanita berkenaan.

Dakwa wanita itu, aktres berkenaan menumbuk pada bahagian dahi selain mengacukan senjata tajam ke arah adiknya sehingga mendatangkan kecederaan.

Pembantu peribadi aktres berkenaan mengalami trauma akibat dipukul.

Pembantu peribadi aktres berkenaan mengalami trauma akibat dipukul.

"Pelakon tersebut dan sepupunya menarik adik saya naik ke pejabat mereka, katanya untuk berbincang secara baik.

"Namun tiada perbincangan berlaku sebaliknya pelakon itu terus menumbuk bahagian dahi adik saya. Dia acukan gunting ke arahnya. Tudung adik saya pun direntap.

"Ingatkan dekat situ saja dah selesai tetapi rupanya bila turun ke bawah kedai, adik saya sekali lagi dipukul dan ia berlaku di depan ibu artis itu," katanya kepada mStar.

Wanita tersebut juga mendedahkan adiknya turut dipaksa oleh aktres berkenaan agar mengaku telah menceritakan hal rumah tangga yang sedang bergolak itu kepada ibu pelakon tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Selisih faham 4 pagi, aktor popular didakwa tumbuk mata teman wanita

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon didakwa pukul kekasih muncul beri keterangan, ditemani bapa ke balai polis

Kata wanita itu lagi, adiknya sebagai pembantu peribadi kepada si aktres terpaksa berbuat demikian kerana tidak sanggup melihat artis jagaannya menanggung beban susulan kemelut rumah tangga mereka.

"Telefon bimbit adik saya dihempas beberapa kali sebagai hukuman agar dia mengaku menjadi individu yang bertanggungjawab membuka aib rumah tangga kepada ibunya.

"Sebenarnya pelakon itu dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga, yang tahu hanya adik saya.

"Tapi lama-kelamaan adik saya kasihan dan maklumkan kepada ibu kandung pelakon tersebut. Jadi dia marah kerana adik saya mencampuri urusan rumah tangganya," ujar wanita itu.

Tambahnya, susulan kejadian dipukul, adiknya mengalami trauma yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri susulan menderita masalah kemurungan dan kebimbangan melampau.

Pihak hospital katanya, menasihatkan agar adiknya itu membuat laporan polis.

"Keadaan kemurungannya juga sangat teruk dan disebabkan itu doktor menahannya di wad untuk berehat dan dihantar ke bahagian psikiatri.

"Adik saya terpaksa bersikap jujur kepada doktor psikiatri dan memberitahu tentang semua perkara yang berlaku.

Pembantu peribadi pelakon tersebut kini ditahan reman.

"Doktor mencadangkan adik untuk buat laporan polis. Keluar sahaja dari hospital, kami sekeluarga terus membawanya ke balai polis untuk buat laporan," jelasnya.

Katanya, keadaan menjadi lebih rumit apabila adiknya pula ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan mencuri barang kemas selepas aktres tersebut terlebih dahulu membuat laporan atas tuduhan mencuri.

Namun katanya, selepas pihak polis menggeledah rumah adiknya itu, tiada barang bukti yang ditemui seperti diperkatakan aktres itu dalam laporannya.

Sementara itu, usaha pihak mStar menghubungi akres berkenaan dan suaminya bagi mendapatkan reaksinya terhadap dakwaan tersebut tidak berjaya apabila panggilan dibuat kepada mereka tidak dijawab.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain