suria

[V] Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup, 16 sebatan atas tiga kesalahan dadah

PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pagi Khamis.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Norsharidah Awang selepas membenarkan rayuan dikemukakan pihak pendakwaan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku peratu sementara manakala Yasin diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

1649171

Yasin didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebas dan melepaskan Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 49, atas tiga pertuduhan kes dadah melibatkannya.

Ia susulan Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) iaitu hukuman dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman belum putus asa, kes rayuan pembebasan tuduhan dadah Ogos depan

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman anggap prosiding rayuan bazir masa dan tenaga, tulis buku pengalaman di penjara dan Hospital Bahagia

Bagi kesalahan kedua, Yasin didakwa menanam pokok Kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan ketiga penyanyi berkenaan didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 11.05 malam, Tarikh yang sama.

Kesalahan itu dikemukakan dibawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) dengan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin bagaimanapun menarik nafas lega selepas dibebaskan dan dilepaskan atas semua pertuduhan itu.

Bagaimanapun dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain