TUJUH tahun bahagia melayari alam perkahwinan, tiada siapa menyangka pelakon Nur Fazura memfailkan penceraian terhadap suaminya yang juga aktor iaitu Fattah Amin di Mahkamah Syariah Petaling, Selangor pada Jumaat. Berita tersebut mengejutkan ramai peminat kerana selama ini Fattah dan Fazura dilihat begitu mesra sehingga sering digelar sebagai pasangan serasi. Namun gosip mengatakan rumah tangga pasangan berkenaan sedang goyah mula tersebar di media sosial pada awal Julai lalu apabila pelakon filem Pisau Cukur itu didakwa tidak lagi berkongsi foto bersama suami di media sosial. Hal itu membuatkan ramai peminat tertanya-tanya tentang status rumah tangga mereka namun Fazura menegaskan hubungannya dengan Fattah berada dalam keadaan baik. Hubungan Fattah dan Fazura direstui ramai peminat. Berikut merupakan kupasan mStar mengenai perjalanan cinta Fattah dan Fazura yang selama ini diiringi doa daripada peminat yang inginkan pasangan ini mengecapi bahagia hingga ke syurga. 1. Mula rapat ketika membintangi drama Hero Seorang Cinderella Fattah dan Fazura dikatakan mula rapat sewaktu digandingkan bersama menerusi drama Hero Seorang Cinderella pada tahun 2017. Gandingan mereka berdua berhasil mencipta chemistry sehingga berjaya memikat hati penonton sehingga wujudnya tanda pagar #FattZura. Hubungan pasangan ini tidak terhenti selepas penggambaran drama tersebut dan mereka kerap keluar bersama. Susulan itu, bermulalah spekulasi mengatakan Fattah dan Fazura sedang hangat bercinta dalam diam. ARTIKEL BERKAITAN: Fazura fail cerai terhadap Fattah Amin, desas-desus keretakan rumah tangga benar ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin masih sayang Fazura, tiada wanita lain... Terkejut isteri fail cerai 2. Fattah beri kejutan hadiahkan 500 kuntum mawar buat Fazura Pada ulang tahun kelahiran Fazura yang ke-34, Fattah membuat kejutan dengan mengirimkan 500 kuntum bunga mawar. Bagaimanapun aktor berkenaan berkata jumlah bunga mawar yang dihadiahkan itu tidak mempunyai maksud tertentu sebaliknya adalah sebagai tanda penghargaan untuk Fazura yang dianggap sebagai rakan baik. 3. Fattah dan Fazura mengaku sudah bertunang Pada 13 November 2017, pasangan dua sejoli ini mengikat tali pertunangan di kediaman keluarga Fazura di Petaling Jaya, Selangor. Berita gembira tersebut diumumkan oleh Fattah dan Fazura menerusi sebuah sidang media yang dilakukan selepas kedua-dua mereka pulang dari menunaikan ibadah umrah. Ia sekali gus menepis dakwaan peminat yang menyangka pasangan selebriti itu sudah pun bernikah secara senyap-senyap sebelum berlepas ke Tanah Suci. 4. Fattah dan Fazura nikah tertutup Selepas beberapa hari memaklumkan sudah bertunang, pasangan pelakon ini sekali lagi membuat kejutan apabila melangsungkan pernikahan secara tertutup di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada 27 November 2017. Pihak pengurusan Fazura dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan itu sah diijabkabulkan dengan sekali lafaz kira-kira pukul 9.50 malam. Perkahwinan Fattah dan Fazura dinantikan oleh ramai peminat. 5. Majlis resepsi untuk peminat Bagi meraikan perjalanan cinta mereka, pasangan ini menganjurkan majlis resepsi secara besar-besaran untuk peminat di Shah Alam. Lebih 5,000 peminat hadir meraikan majlis mereka. Pasangan ini cantik mengenakan busana tradisional dan sempat menyanyikan lagu duet berjudul Cinderella. 6. Hari-hari jatuh cinta pada Fazura Selepas empat bulan mendirikan rumah tangga, Fattah memberitahu dia jatuh cinta terhadap isterinya setiap hari. Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menyifatkan pertemuan dengan Fazura adalah satu keajaiban daripada Allah dan wanita itu adalah cinta sejatinya. 7. Fattah dan Fazura timang anak pertama Selepas mendirikan rumah tangga, Fazura sering diasak dengan soalan tentang kehamilan. Namun pelakon filem Kayangan tidak melatah dan berjanji akan berkongsi dengan peminat sekiranya berita kehamilan tersebut menjadi kenyataan. Pada April 2020, Fazura akhirnya berkongsi berita gembira memaklumkan dia sedang hamil anak pertama. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberikan nama sebagai Nur Fatima Aisya. Fazura dan Fattah menimang cahaya mata pada Oktober 2020. 8. Fazura pandai ambil hati keluarga mentua Sepanjang pernikahan mereka, Fazura sering dipuji netizen kerana pandai menjaga hati keluarga Fattah termasuk menyantuni ibu aktor berkenaan iaitu Azizah Abdul Ghani. Menerusi perkongsian video yang tular pada April 2023, Fazura dilihat mesra melayan ibu dan bapa mentuanya memilih pakaian untuk sambutan Aidilfitri. Rata-rata netizen memuji aktres tersebut kerana melayan keluarga mentua dengan penuh kasih sayang. 9. Gosip rumah tangga jadi bualan hangat netizen Tiada angin tiada ribut, pada Julai lalu kecoh di media sosial apabila ada netizen mendakwa rumah tangga Fattah dan Fazura kini sedang bergolak. Hal ini berpunca apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi berkongsi foto dan saling meninggalkan komen dalam media sosial. Fazura memfailkan penceraian terhadap Fattah pada 13 September. 10. Timbul dakwaan muncul orang ketiga Pada Ogos lalu, timbul pula gosip mengenai rumah tangga pasangan pelakon didakwa sedang bergolak kerana dikhabarkan suami kepada aktres jelita itu menjalinkan hubungan sulit dengan perunding imej isterinya. Netizen mula mengaitkan gosip tersebut dengan rumah tangga pasangan tersebut dan memetik nama Fattah bagi merujuk khabar angin tersebut. Bagaimanapun pasangan ini terus mengunci mulut dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung rumah tangga mereka. 11. Fazura fail cerai Pada Jumaat, Fazura dikatakan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor bagi memfailkan cerai terhadap Fattah. Bagaimanapun butiran terperinci mengenai hal tersebut tidak dinyatakan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!