suria

Nurul Shuhada akan hadir bicara kes pukul, tak bawa anak-anak pulang dari Australia

Shuhada (kanan) bakal hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan.

BEKAS isteri Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada akan memberi kerjasama apabila diperintah menghadirkan diri ke perbicaraan kes pukul membabitkan aktor berkenaan pada Januari tahun depan.

Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, yang kini menetap di Melbourne, Australia bagaimanapun memberitahu dia masih belum menerima sebarang maklumat jelas tentang perintah berkenaan.

"Saya sebenarnya terlupa tentang prosiding hari ini (Isnin). Jadi tak tahu apa yang berlaku.

hafidz 1

Hafidz ketika hadir di mahkamah pada Isnin.

"Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Jika perlu hadir, saya akan hadir. Tiada masalah," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada pagi Isnin, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memerintahkan Shuhada hadir pada perbicaraan kes yang ditetapkan pada 20 Januari 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Hijrah kerana Allah, Shuhada tukar angin pindah Australia... Syukur anak-anak cepat sesuaikan diri

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pukul bekas isteri Hafidz Roshdi diteruskan, hakim perintah Nurul Shuhada hadir perbicaraan

Ia dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya iaitu Eirene Nabila Amani Williams Hunt memberitahu perbicaraan kes tersebut diteruskan susulan permohonan representasi tertuduh di Jabatan Peguam Negara (AGC) ditolak.

Peguam Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika prosiding turut memohon mahkamah meneliti dokumen diserahkan susulan tertuduh dan pengadu sudah bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

Malah Shuhada sendiri telah membuat penarikan semula laporan polis pada 6 Julai lalu.

Bagi pihak saya sudah selesai. Saya tiada kuasa apabila kes ini diteruskan

NURUL SHUHADA

Mengesahkan perkara itu, Shuhada bagaimanapun keputusan lain adalah dalam bidang kuasa pendakwaan yang ingin meneruskan kes tersebut.

"Saya sudah menarik kes seperti yang dipersetujui. Bagi pihak saya sudah selesai. Saya tiada kuasa apabila kes ini diteruskan. Saya tidak boleh beri sebarang komen," ujarnya.

Pada 13 Ogos lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes pukul Hafidz diteruskan selepas pihak pendakwaan memohon ia terus dibicarakan walaupun Shuhada menarik balik laporan.

shu 2

Shuhada bersama anak-anak kini menetap di Australia.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 3.22 pagi pada 2 Mac 2023.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu pada Julai tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4 tahun.

Sementara itu, Shuhada berkata, dia berkemungkinan akan pulang ke tanah air tanpa ditemani kedua-dua anaknya memandangkan mereka bersekolah.

"Anak-anak sekolah. Saya mungkin balik seorang, tiket kapal terbang pun mahal," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain