PENDAKWAH bebas Pencetus Ummah (PU) Azman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.
Menurut laporan Kosmo, hukuman itu dikenakan selepas Azman atau Azman Shah Alias, 43, mengaku bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lalu.
Pengakuan tersebut dilakukan Azman dengan tenang selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.
Azman sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mengambil kira fakta kes dan juga faktor pemberatan selain rayuan dikemukakan kedua-dua belah pihak serta mengambil kira kepentingan awam melebihi faktor peribadi.
Hukuman pemenjaraan itu bagaimanapun berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh dijamin pada 9 Oktober lalu.
Mahkamah juga menetapkan Azman perlu menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Padah lakukan amang seksual... PU Azman dihukum 2 sebatan, penjara 24 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: PU Azman mengaku bersalah lakukan kelucahan melampau, hukuman penjara tambah 14 bulan lagi
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 5 Februari dan 6 Julai 2022.
Pada 27 September lalu, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
Azman dengan tenang mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan.
Bukan itu sahaja, Azman turut dijatuhi hukuman penjara tambahan sebanyak 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada 6 Disember lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu selepas Azman mengaku bersalah atas kelucahan melampau terhadap remaja lelaki.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!