suria

[V] Tiba dari Jepun, terus bekejar ke mahkamah...Shuib janji beri kerjasama kes gagal bayar cukai RM1.6 juta

PELAWAK Shuib akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang perbicaraan bagi enam pertuduhan kerana gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta.

Kata Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, dia meletakkan harapan tinggi agar kes berkenaan berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan cara baik.

"Saya berharap perbicaraan ini semuanya okay sahaja, malah hubungan kami dengan pihak Kastam pun baik. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan dengan baik.

Shuib bersama rakan kongsinya hadir ke Mahkamah Shah Alam.

Shuib bersama rakan kongsinya hadir ke Mahkamah Shah Alam.

"Saya tiada sebarang masalah, saya akan memberikan kerjasama penuh dan ikut proses perundangan ini.

"Adatlah kalau berniaga, kadang-kadang tersangkut kes begini. Cumanya saya berharap tahun 2025 akan menjadi tahun terbaik buat saya," katanya kepada mStar.

Shuib bersama Pengarah Syarikat Bubblebee Sdn Bhd iaitu Kho Choon Guan ditemui di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor pada Rabu selepas sebutan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib jelaskan punca tangan kanan anak bongsu kurang berfungsi, kesan lahir tak cukup bulan

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib anggap kes mahkamah dugaan kecil perniagaan, kehilangan isteri tercinta itu lebih berat

Mahkamah bagaimanapun menetapkan sebutan semula kes pada 13 Januari tahun depan memandangkan terdapat 10 lagi dokumen belum diserahkan.

Meskipun baru tiba di Malaysia selepas bercuti di Tokyo, Jepun, Shuib berkata dia tetap menghadiri perbicaraan berkenaan dan meluahkan rasa lega urusan itu dipermudahkan.

"Bila saya naik mahkamah sebelum ni dan dapat tahu sebutan pada 18 Disember ni... Agak terkejar-kejar juga tapi Alhamdulilah sempat tiba di mahkamah.

"Walaupun baru saja sampai Malaysia pada pukul 6.50 pagi tadi tapi syukur semuanya dipermudahkan," ujarnya.

Pada 14 November lalu, Shuib dan Kho Choon Guan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta pada tahun lalu.

Adatlah kalau berniaga, kadang-kadang tersangkut kes begini.

SHUIB

PELAWAK/USAHAWAN

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Untitled design (12)

Shuib beri kerjasama dengan baik sepanjang kes dibicarakan.

Malah di bawah seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.

Selaku Orang Kena Saman (OKS) Shuib dan Choo Guan diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Wan Abdul Rahim Wan Mahamood.

Pada 11 November lalu, Shuib bersama Choon Guan didenda sebanyak RM17,500 terhadap tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Mereka bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan Majistret Ameera Mastura.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain