ISU rumah tangga Datuk Nora Ariffin semakin bertambah rumah rumit selepas tiga pihak iaitu penyanyi itu, suami dan madunya sering balas membalas kenyataan.
Terbaharu, suami Nora mendedahkan terdapat desakan daripada isteri pertama dan anaknya agar dia menceraikan penyanyi berkenaan.
Rushdi juga menegaskan kenyataan yang dikeluarkan isteri pertamanya iaitu Rose Aliza Sutrisno pada Khamis lalu adalah satu fitnah.
Suami Nora akhirnya buka mulut kemelut rumah tangga.
Katanya, dia juga menyimpan bukti desakan dan suruhan yang diterima daripada isteri pertama dan anaknya, Alia Rushdi.
“Demi untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama, saya ingin menafikan sepenuhnya kenyataan yang dibuat oleh isteri pertama yang bertarikh 20 Mac 2025 dalam media bertulis serta elektronik.
“Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan tidak benar dan telah mendatangkan fitnah besar kepada saya sebagai seorang suami dan Nora.
“Hakikatnya, wujud desakan dan suruhan daripada pihaknya sehingga wujud episod saya menceraikan Nora sebelum kami rujuk kembali.
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pertama tak pernah desak suami ceraikan Nora, dakwa dimadukan sejak 2018
ARTIKEL BERKAITAN: Nora beri bayangan fail cerai terhadap suami, mahu tunai hajat madu kembali monogami
“Saya menyatakan bahawa adanya bukti-bukti terdapatnya desakan-desakan dan suruhan dari pihak ketiga tersebut untuk saya menceraikan Nora,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.
Menurut Rushdi, dia tidak pernah mengabaikan perasaan isteri pertamanya yang tidak bersetuju untuk berpoligami namun dia tekad dengan keputusan menikahi Nora sebagai isteri kedua.
“Saya menghormati dan mengakui apa yang dirasai oleh isteri pertama untuk semua perkara.
“Namun, saya tidak bersetuju dengan desakan dan suruhan yang perlu diberikan kepada saya,” jelasnya.
Harap kemelut antara isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni.
DR RUSHDI RAMLI
SUAMI NORA ARIFFIN
Dalam pada itu, Rushdi juga berharap kedua-dua isterinya dapat berdamai dalam tempoh terdekat ini.
Dia juga tidak pernah pilih kasih terhada kedua-dua mereka sebaliknya menyayangi sama rata diantara Nora dan Rose.
“Pada bulan Ramadan yang mulia ini, harap kemelut antara isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni kerana saya amat sayang mereka dan keluarga.
“Sesungguhnya saya amat menghargai segala kebaikan dan pengorbanan isteri pertama sepanjang bersamanya selain menghargai kebaikan isteri kedua.
Suami akui sayangkan kedua-dua isterinya.
“Saya amat berharap saya dan isteri-isteri saya dapat melayari bahtera dan meniti kehidupan bersama dengan sakinah, mawaddah warahmah hingga ke jannah,” katanya lagi.
Pada Khamis lalu, Rose menyangkal dakwaan dia dan anak perempuannya memaksa suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli menceraikan penyanyi berkenaan.
Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan suaminya dan bukan sebab didesak mereka seperti dakwaan Nora.
Rose tampil membela diri selepas Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 53, membuat kejutan apabila berkongsi foto papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat beserta bagi membuat permohonan cerai terhadap suaminya.
Nora dan Rose masih belum dapat berdamai.
Nora dalam kenyataan di Instagram memberitahu permohonan itu dibuat bukan atas kerelaannya tetapi menunaikan hajat isteri pertama serta desakan daripada anak mereka.
Pada 12 Ogos tahun lalu, tersebar video berdurasi 52 saat yang memperlihatkan Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu selepas dua tahun berkahwin.
Malah selepas video berkenaan dikecam ramai, Nora sempat membela bekas suaminya dan memaklumkan itu bukanlah atas kehendak suami sebaliknya mengikut arahan seseorang.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi berkenaan memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Nora mengumumkan perkahwinannya dengan Rushdi pada 3 Disember 2021 namun tidak memperincikan butiran mengenainya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!