MENGETENGAHKAN keunikan budaya kaum Kelabit di Bario, Sarawak, pengarah Josh Nawan juga berani menampilkan muka-muka baharu dalam filem arahan pertamanya berjudul Tegkang. Dalam usaha menghidupkan setiap watak, Josh bersama pasukan produksi mencari sendiri warga tempatan yang kebanyakannya tidak mempunyai sebarang pengalaman beraksi di hadapan kamera. Namun karakter dipamerkan itulah yang menjadikan Tegkang cukup istimewa kerana lebih dekat di hati penonton dan mudah memahami jalan cerita ingin ditonjolkan. Keunikan budaya kaum Kelabit menjadi inspirasi buat Josh (kanan). "Dalam mencari barisan pelakon kami ada sesi uji bakat beberapa hari sebelum memulakan penggambaran. Kita perlukan orang yang minat berlakon dan mereka ini datang sendiri untuk uji bakat. "Saya amat berbangga dengan semua barisan pelakon kerana ada antara mereka yang langsung tidak mempunyai pengalaman di hadapan kamera. Hasil filem ini membuktikan kita semua berkongsi misi yang sama," katanya. Josh berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan filem tersebut yang berlangsung di GSC Starling Mall, Petaling Jaya. Antara nama-nama baharu yang ditampilkan adalah Michelle Lungan sebagai watak Rinai, Hezekiah Asim (Ritap), Pun Ratu Aran (Sina Runa) dan Lian Tarawe (Guruq). ARTIKEL BERKAITAN : Cukup sekadar salam, tak mahu peluk... Syafie Naswip jaga batas pergaulan dengan wanita ARTIKEL BERKAITAN : ‘Di Hatiku Ada Kamu’ makin buat penonton emosi, ramai tak sabar tunggu pengakhiran kisah Adif dan Rian Bercakap lanjut, dia yang juga merupakan penulis skrip cerita ini memberitahu jalan cerita disampaikan adalah berdasarkan pengalaman sendiri kemudian diolah menjadi sebuah naskah yang cukup menarik. Tambahnya skrip tersebut juga sudah mula ditulis sejak 14 tahun lalu sebelum menerima tawaran produksi untuk diangkat sebagai filem. "Saya sudah lama menulis skrip ini namun tidak disiapkan sepenuhnya. Apabila produksi memberi tawaran untuk membuat satu filem, saya cuba berikan cerita ini dan mereka bersetuju. Banyak rombakan dibuat sebelum hasil perbincangan bersama. Hasil filem ini membuktikan kita semua berkongsi misi yang sama JOSH NAWAN PENGARAH "Sebenarnya ia ada kaitan dengan kisah datuk saudara saya. Dengan keadaan dirinya, dia menjadi beban kepada keluarga sehingga ada yang bergaduh. Namun disebabkan kekurangan itu menjadi satu rahmat dalam hidupnya," ujarnya. Filem terbitan Mycontent Distribution Sdn Bhd ini menjadikan daerah Bario sebagai 99 peratus lokasi penggambaran yang mengambil masa 40 hari. Malah hampir keseluruhan skrip juga menggunakan dialek kaum Kelabit untuk selain paparan budaya kehidupan di sana termasuk makanan dan cara berpakaian. Barisan pelakon baharu membintangi Tegkang. Pelakon Syafie Naswip pula membawa peranan watak utama sebagai Hanafi yang merupakan seorang pelancong. Tegkang meneroka kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia Rinai (lakonan Michelle) yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran Hanafi. Filem yang menelan belanja RM2 juta ini akan mula ditayangkan pada 28 November 2024. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!