PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah membuat kejutan selepas tidak menolak kemungkinan berpindah ke Real Madrid atau Barcelona pada masa akan datang. Pemain kelahiran Mesir itu menjadi bintang Anfield di bawah kendalian Jurgen Klopp sejak berhijrah dari Roma pada 2017. Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan 108 gol dalam 172 penampilan untuk kelab itu. Pencapaian tersebut menyaksikan Salah dikaitkan dengan kelab gergasi Sepanyol. Namun, ketika ditanya oleh media Sepanyol, AS, sama ada beliau akan menolak perpindahan ke La Liga di masa depan, bekas penyerang Chelsea itu tidak dapat menjawabnya. "Saya fikir Madrid dan Barcelona merupakan dua kelab yang teratas," katanya. "Tiada siapa yang tahu apa akan terjadi pada masa depan. Tapi buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara bersama Liverpool sekali lagi," tambah Salah. - Mail Online Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!