suria

Pemain bola sepak digugurkan jika bersalah rogol remaja

Suspek kini direman bagi membantu siasatan. -gambar hiasan

BIARPUN masih dalam siasatan, kes dakwaan rogol remaja perempuan membabitkan pemain bola sepak liga tempatan mencetuskan tanda-tanya.

Ini termasuklah status suspek sekiranya didapati bersalah melakukan perbuatan itu.

Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pemain yang didakwa terbabit dalam kes rogol remaja perempuan berusia 18 tahun bakal digugurkan daripada pasukan jika disabitkan bersalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Disyaki rogol remaja, pemain bola sepak ditahan

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat kesamaran dalam kes tersebut, pemain berusia 28 tahun itu akan diberikan peluang.

"Secara rasminya, saya belum mengetahui pemain daripada pasukan mana. Cuma saya minta pihak pengurusan lakukan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu, pada Rabu.

Menurutnya, pemain yang langgar peraturan harus dikenakan tindakan sewajarnya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga negeri.

Wan Roslan turut melahirkan rasa terkilan dengan kejadian itu dan sebagai negeri membangun bersama Islam, pihaknya banyak berusaha supaya atlet faham tanggungjawab sebagai manusia.

Beliau berharap semua atlet dapat mematuhi syariah yang telah ditetapkan.

"Dalam usaha kita ke arah itu kadang-kadang ada yang terlanggar peraturan. Biasalah dalam kita buat sesuatu perkara sentiasa berdepan dengan ujian dan yang kita hendak tidak semua boleh dicapai," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain