KELAB gergasi Arab Saudi, Al-Nassr dilaporkan sedang memburu bintang Chelsea, N'Golo Kante sebaik kontraknya tamat Jun tahun depan. Pemain tengah itu dibelenggu kecederaan musim ini dan tercicir daripada skuad Piala Dunia Perancis tahun ini selepas hanya melakukan tiga penampilan. Al-Nassr dalam usaha menandatangani nama-nama besar pada musim panas, dengan Cristiano Ronaldo dilaporkan menjadi keutamaan mereka selepas pemain Portugal itu dilepaskan oleh Manchester United. Kelab itu mendapat sokongan kerajaan Arab Saudi untuk menarik pemain-pemain ternama beraksi di liga negara itu. Ia antara usaha mereka untuk cuba memenangi bidaan menganjurkan Piala Dunia 2030 selepas kejayaan Qatar menjadi tuan rumah pada tahun ini. Akhbar Sun Sport sebelum ini melaporkan, Ronaldo ditawarkan sehingga 173 juta pound (RM929.9 juta) oleh Al-Nassr. Pemenang lima kali Ballon d'Or itu juga dilaporkan akan menerima tawaran itu walaupun sehingga kini belum ada sebarang persetujuan. Kante pula berada dalam situasi berbeza apabila dia dilihat begitu serasi di London dan akan menyertai kelab lain di kota itu sekiranya Chelsea tidak melanjutkan kontraknya. Bagaimanapun pemain Perancis itu juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berpindah ke Arab Saudi, selain dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona pada musim panas nanti. Barca sedang memperkuatkan bahagian tengahnya dan sedang mencari pemain-pemain sudah tamat kontrak bagi menjimatkan perbelanjaan mereka. - Mirror Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI