LEGENDA bola sepak Brazil Pele yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun. "Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang," tulis anak perempuan Pele, Kely Nascimento di Instagram. Hospital Albert Einstein yang merawat Pele dalam satu kenyataan berkata, kematiannya selepas sekian lama bertarung dengan kanser disebabkan oleh ‘kegagalan pelbagai organ.’ Dinobat sebagai atlet abad ini oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 1999, Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970. Digelar “O Rei” (Raja), dia menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kerjayanya yang paling terkenal sebelum bersara pada 1977. Kesihatan Pele semakin merosot seleps dia bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon, dan menjalani pembedahan terakhir pada September 2021, diikuti dengan kemoterapi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI