suria

Stadium Bukit Jalil diselenggara, TMJ tawar Harimau Malaya guna stadium JDT

TMJ menawarkan Harimau Malaya untuk menggunakan Stadium JDT bagi perlawanan antarabangsa.

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbesar hati menawarkan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue alternatif untuk kegunaan skuad Harimau Malaya.

Tunku Ismail bertitah, inisiatif itu bagi memastikan pasukan kebangsaan itu dapat melangsungkan mana-mana perlawanan membabitkan peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Konsert Jay Chou World Tour yang akan diadakan pada 15 Januari ini menyebabkan sebahagian daripada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa ditutup pada perlawanan separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dengan Thailand, Sabtu ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan tempahan stadium untuk konsert Jay Chou World Tour telah dibuat pada 13 Mac 2019, manakala tempahan stadium bagi perlawanan bola sepak Piala AFF 2022 pula dibuat sedikit lewat.

Persiapan sedang dibuat untuk konsert Jay Chou World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tunku Ismail memaklumkan dia telah berjumpa dengan Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk berbincang mengenai perkara itu.

“Setelah berbincang dengan Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkenaan penyelenggaraan padang SNBJ bermula Mac ini.

“Saya telah berjumpa dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd. Amin) untuk berkongsi ‘update’ (kemaskini) dan menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu SNBJ siap,” katanya.

Tunku Ismail menzahirkan tawaran itu sebelum membuat ciapan di laman sosial Twitter serta Instagram miliknya malam tadi.

Stadium Sultan Ibrahim dirasmikan pada 22 Februari 2020 terletak di Gelang Patah, Iskandar Puteri merupakan stadium rasmi pasukan Harimau Selatan yang memilik pelbagai kemudahan termasuk menggunakan teknologi tinggi.

Stadium ikonik yang menelan kos pembinaan RM200 juta itu dibina bagi menggantikan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin mampu memuatkan 40,000 kapasiti penonton pada satu-satu masa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain