PENYANYI Taiwan, Jay Chou bersedia menangguhkan konsertnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Januari ini bagi memberi laluan kepada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Harimau Malaya dan Thailand malam esok. Jay Chou yang juga penulis lirik, rapper, aktor dan personaliti televisyen berusia 43 tahun membalas luahan rasa tidak puas hati penyokong negara selepas hanya 59,000 tiket dijual bagi perlawanan itu malam esok manakala 21,000 lagi tidak boleh dijual disebabkan persediaan pentas konsert itu. "Kepada penyokong bola sepak Malaysia, saya tahu perlawanan itu amat penting buat anda. "Saya sedia memberikan kerjasama untuk menangguhkan konsert tetapi anda harus bertanya kepada persatuan bola sepak atau pentadbir gelanggang itu jika mereka membenarkan saya untuk menangguhkannya," tulisnya dalam jawapan di media sosial hari ini. "Saya OK sahaja, saya hanya mahu menyanyi untuk peminat," katanya. Terdahulu, akaun media sosial Jay Chou termasuk Facebook dan Instagram diserang penyokong Harimau Malaya yang tidak berpuas hati kerana 21,000 tiket tidak dapat dijual disebabkan persediaan pentas bagi menjayakan konsert itu. Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka juga menuntut penyanyi itu supaya menangguhkan konsertnya bagi memberi laluan kepada penyokong atau 'pemain ke-12' memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI