PENYOKONG yang hadir merupakan pemain ke-12 di atas padang. Semangat yang disalurkan oleh sorakan penyokong menjadi sumber kekuatan kepada pemain yang sedang beraksi. Namun begitu, Harimau Malaya akan beraksi malam ini menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan kekurangan hampir 21,000 penyokong kerana sebahagian venue sedang disiapkan untuk sebuah acara konsert. Sementara itu, pengendali pasukan Thailand, Alexandre Polking mengakui bahawa beliau berasa sedikit lega apabila mengetahui penyokong Harimau Malaya di SNBJ tidak akan mencapai kapasiti penuh. Perkara itu lebih menggembirakan hatinya kerana ia adalah aksi separuh akhir pertama piala AFF 2022 yang sangat kritikal untuk Thailand mara ke pentas akhir kejuaraan tersebut. “Saya rasa kami agak bertuah kerana konsert tersebut akan mengurangkan jumlah penyokong (Malaysia) sebanyak 20,000 orang. "Kami gembira dengan perkara itu,” kata Alexandre dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. Walau bagaimanapun, Alexandre tetap menjangkakan pasukannya bakal menghadapi tugas yang sukar sewaktu menentang Hariamau Malaya di stadium keramat tersebut. Justeru dia sempat mengingatkan pasukannya agar memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan pada Sabtu ini. Alexandre turut menyifatkan kekuatan mental pemain sangat diperlukan bagi menghadapi aksi penuh getir untuk penentuan tempat ke perlawanan akhir. “Untuk berada di peringkat ini, ia lebih kepada kekuatan mental dan strategi yang betul. “Jika kami fokus, apa juga yang berlaku dalam perlawanan itu seperti lawan mendapat sokongan padu daripada penyokong, kami tetap mampu memberikan persembahan yang baik dan menghentikan mereka,” katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI