AHLI bina badan terkenal dari Jerman, Jo Lindner, 30, yang dikenali sebagai Joesthetics, meninggal dunia di Thailand. Berita kematiannya itu disahkan oleh teman wanita yang juga merupakan jurulatih kecergasan, Nicha pada Sabtu. Menyiarkan gambar dirinya dengan Lindner dalam hantaran di Instagramnya, Nicha memberi penghormatan kepada YouTuber yang disifatkannya sebagai manis (sweet), baik dan rajin. "Dan dia adalah seorang lelaki yang cukup yakin terhadap semua. "Terutama sekali saya. Dia percaya bahawa saya boleh menjadi lebih baik dan menjadi seseorang di dunia ini,” tulisnya di ruangan kapsyen. Untuk rekod, Lindner mempunyai 8.4 juta pengikut Instagram, dan video YouTubenya dilaporkan memperoleh hampir 500 juta tontonan. Nicha berkata, Lindner mengalami aneurisme selepas mengadu sakit di lehernya tiga hari sebelum kematiannya. Malah teman wanitanya juga berkata dia bersamanya ketika Lindner meninggal dunia. Untuk makluman, aneurisme ialah pembengkakan atau bonjolan yang tidak normal pada dinding saluran darah. Selepas berita kematian diumumkan, Nicha tampil untuk menangani spekulasi mengenai punca kematian Lindner. Katanya, ia merupakan satu tindakan tidak adil kepada pasangannya bahawa orang meneka bagaimana kematiannya atau mengatakan dia terlebih dos (overdose). “Jika Lindner ‘cukup berani’ untuk mengakui dia menggunakan steroid, tidak ada sebab untuk tidak mempercayainya,” katanya. Selepas berita kematian Lindner tersebar, rakan bina badan, Noel Deyzel mengesahkan laporan itu benar di akaun Instagramnya. -INDEPENDENT.CO Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube