suria

Bekas pemain bola sepak, dua lagi dihadap ke mahkamah... Didakwa pecah rumah, miliki barang curi

Tertuduh (baju oren) dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki barang curi.

SEORANG bekas pemain bola sepak dan dua lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Pontian atas pertuduhan memiliki barang curi dan memecah masuk rumah.

Tertuduh, Mohd Azinee Taib, 33, Muhamad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati pada Ahad.

Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa memecah masuk rumah seorang lelaki berusia 35 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Cendana di Benut, Pontian, pada 1.15 petang 3 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Dalam pertuduhan kedua, Mohd Azinee bersama dua lagi lelaki yang masih bebas didakwa memecah masuk rumah seorang lelaki berusia 64 tahun.

Ia didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Benut Utama, Pontian, pada 12.05 tengah hari 8 Jun bulan lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Azinee didakwa memiliki barang curi yang merupakan telefon bimbit pada 3 Julai, jam 4.30 petang di sebuah jeti nelayan di Ayer Baloi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Sebutan kes ditetapkan pada 30 Ogos depan.

Pada awal bulan ini, dilaporkan seorang bekas pemain bola sepak, yang dipercayai beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super, ditahan atas kesalahan pecah rumah di Benut pada 3 Julai lalu.

Menurut Sinar Harian, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain