KEADAAN yang kurang sihat di dalam bilik persalinan Manchester United memaksa campur tangan daripada bekas kapten mereka, Roy Keane. Menurutnya, dia akan berasa malu jika prestasinya ketika latihan dikritik, dan menggesa Jadon Sancho meminta maaf kepada pengendali, Erik ten Hag. Sancho ketika ini tersisih daripada skuad utama selepas dia berkeras untuk tidak meminta maaf kepada Ten Hag susulan kenyataannya terhadap pengendali itu di media sosial. Pemain sayap United itu mendakwa dia dijadikan kambing hitam dan mendakwa Ten Hag adalah seorang penipu selepas kekalahan di Arsenal. Sancho dilaporkan dilarang menggunakan kemudahan untuk skuad senior termasuk dewan makan. Sancho, yang menyertai United dari Borussia Dortmund pada tahun 2021, hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan musim ini, dan langsung tidak tersenarai dalam skuad selepas kenyataannya itu. "Saya akan marah kepada Sancho jika dia tidak berlatih dengan betul. Berkenaan personaliti, semua orang berbeza. "Saya akan berasa malu jika pengendali pasukan datang menegur saya depan-depan atau bercakap kepada media tentang saya. "Namun perkara ini akan berlalu dengan pantas jika kita menerima kesilapan kita dan meminta maaf," kata Keane. - talkSPORT Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube