BINTANG Manchester United, Antony selesai memberikan keterangannya selama hampir lima jam berhubung dakwaan bekas teman wanitanya diserang pemain itu. Pemain 23 tahun itu secara sukarela ke balai polis bagi memberi keterangan terhadap dakwaan Gabriela Cavallin. Pemain sayap Brazil itu tiba di lapangan terbang Manchester dari Sao Paulo, pada Isnin lalu. Dia dilihat meninggalkan kediamannya di Hale Barns, dan menuju ke balai polis Manchester pada pukul 4 petang waktu tempatan Jumaat dan hanya meninggalkan polis selepas pukul 9 malam. Antony menafikan kesemua dakwaan oleh bekas teman wanitanya. Dia juga bersedia menyerahkan telefon bimbitnya untuk siasatan. Dia sebelum ini dirakam keterangan oleh polis Brazil dan dibenarkan kembali ke United Kingdom selepas memberi kerjasama kepada polis Sao Paulo. Gabriela, 22, mendakwa pemain sayap itu menyerangnya beberapa kali sepanjang perhubungan mereka. Kali pertama dia diserang pada Jun tahun lalu, ketika sedang hamil dan bercuti di Brazil. Antony kemudian dikatakan menumbuk dan menanduk dadanya sehingga implan payudaranya rosak, di sebuah hotel di Manchester, pada 15 Januari tahun ini. Gabriel turut mendakwa Antony membaling gelas kepadanya pada Mei sehingga mengakibatkan jarinya luka. Dua wanita lain turut mendakwa diserang pemain itu. Antony dibenarkan oleh United untuk bercuti bagi membersihkan namanya daripada segala pertuduhan. Awal bulan ini, United mengeluarkan kenyataan yang Antony diberikan cuti sehingga kesnya selesai. Dengan siasatan masih berjalan, Antony terpaksa melupakan seketika aksi bersama skuad kendalian Erik ten Hag. - The Guardian Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube