suria

Chong Wei kongsi detik cemas pertama kali beraksi di Olimpik, terkejut dipanggil ‘Jason’ oleh psychologist

Chong Wei kongsi pengalaman lucu ketika beraksi di Sukan Olimpik Athens.

TERUJA apabila Olimpik Paris 2024 membuka tirainya secara rasmi pada awal pagi Sabtu, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menitipkan pesanan buat atlet negara agar tidak cemas ketika beraksi.

Chong Wei di laman sosialnya menceritakan pengalaman pertama kalinya beraksi di Sukan Olimpik Athens pada 2004.

“Saya nasihat atlet supaya jangan cemas. Tapi... mustahil tak cemas. Semasa saya turun gelanggang ketika Olimpik pertama saya, walaupun bertemu Ng Wei dari Hong Kong, bergetar juga tangan kerana cemas.

"Peluh tak henti-henti membasahi baju yang dipakai. Fikiran menjadi kusut. Coach (jurulatih) nampak saya gelisah... dia tahu yang saya dah cemas. Dia pun hubungi team Malaysia punya psychologist atau motivator bagi ketenangan,” katanya.

Berdepan situasi gelisah itu, seorang paychologist tampil dan menghampirinya lalu tangannya dipegang sebelum kata-kata semangat diberikan.

Jason, jangan cemas. Ini kali pertama kau, saya tahu. Tapi Jason, teguhkan mental dan emosi. Jangan cemas.

“Saya pandang coach. Coach pandang saya. Kami hairan. Sejak bila nama saya Jason?

“Saya pun tiao (cakap) weh bro, saya bukan Jason la. Orang itu balas, saya tau... Jason ialah nama saya. Saya pun cemas juga. Ini kali pertama saya jadi psychologist untuk acara begitu besar. Jadi sebelum saya motivasikan awak, saya motivate diri sendiri dulu,” jelasnya sambil ketawa bersama jurulatihnya ketika itu.

Menurut Chong Wei, pengalaman tersebut membuatkan dia tidak lagi cemas dan berjaya mengatasi Ng Wei sebelum dikalahkan pemain China, Chen Long di pusingan kedua.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu berjaya bangkit di tiga temasya Olimpik seterusnya dengan memenangi tiga pingat perak masing-masing di Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Untuk rekod, Chong Wei juga pernah bergelar naib juara dunia pada 2011, 2013 dan 2015 serta muncul satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Namun, jaguh badminton berusia 37 tahun itu akhirnya mengumumkan persaraan selepas 19 tahun menabur bakti untuk negara berikutan masalah kanser hidung pada 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain