TRAGEDI tanah runtuh yang berlaku minggu lalu di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, nyata menjadi wake up call buat kita semua agar mengambil langkah berjaga-jaga terutama ketika bercuti di musim tengkujuh. Perlu diambil perhatian, Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan tempoh tengkujuh timur laut negara bermula pada pertengahan November sehingga Mac 2023. Sepanjang tempoh ini, akan berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, termasuk sungai dan air terjun. Sementara itu pada September lalu, Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Selangor telah mengenalpasti 87 tempat berpotensi banjir di seluruh Selangor. Justeru, mereka yang merancang percutian di kawasan berbukit, hutan, atau tempat rekreasi harus mengelakkan diri daripada melawati kawasan yang berisiko tinggi ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Namun bagi yang sudah merencana aktiviti percutian di destinasi masing-masing, anda dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan terutama jika ada melakukan aktiviti outdoor. ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian wanita! Ikuti 5 tip ini jika travel solo... jadikan perjalanan selamat, menyeronokkan Langkah-langkah keselamatan ini adalah bagi mengelakkan percutian yang sepatutnya menjadi kenangan manis, berakhir dengan tragedi. Berikut adalah tip atau petua ketika bercuti sewaktu musim tengkujuh: 1) Semak ramalan cuaca Ini adalah perkara terpenting yang perlu dilakukan sebelum bercuti. Sentiasa semak ramalan cuaca untuk hari-hari berikutnya, bergantung kepada jenis perjalanan anda. Jika ramalan menyatakan keadaan cuaca yang melampau seperti hujan lebat, hujan batu atau ribut, adalah lebih baik untuk menangguhkan perjalanan atau percutian terlebih dahulu. 2) Buat kajian tentang lokasi Ambil masa untuk membuat carian dan penyelidikan mengenai lokasi yang anda ingin tujui. Sebagai contoh, kawasan pulau peranginan yang menutup operasi pada waktu tertentu. Mungkin juga ada pemberitahuan mengejut daripada pengendali lokasi mengenai status operasi mereka. Selain itu, luangkan masa menonton berita atau membelek media sosial di mana kebanyakan informasi akan dikongsikan para netizen. Anda dinasihatkan lebih berwaspada jika terlibat dengan aktiviti outdoor pada musim tengkujuh. Foto: Tourism Selangor. 3) Bawa bekalan ubat mencukupi Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda sentiasa membawa peti pertolongan cemas, penghalau serangga, preskripsi ubat yang diambil serta ubat-ubatan lain mengikut keperluan sebelum anda memulakan perjalanan. Monsun adalah musim yang menarik bukan sahaja pengembara tetapi 'pengunjung tidak diundang' seperti serangga. 4) Bawa pakaian dan kasut yang sesuai Pakaian daripada fabrik sintetik adalah yang paling sesuai. Selain mudah untuk dibungkus, ia juga ringan dan cenderung kering dalam masa yang singkat. Begitu juga dengan kasut. Bawalah kasut kalis air dan sesuai untuk aktiviti anda. 5) Beg kalis air Ya, anda perlu membawa kelengkapan kalis air semuanya. Daripada bagasi sehinggalah beg galas dan beg mengisi peranti serta peralatan lain, semuanya perlu mempunyai penutup kalis air. 6) Elak minum dan makan daripada sumber diragui Langkah ini penting pada bila-bila saja anda bercuti. Cuma anda lebih terdedah kepada penyakit semasa musim tengkujuh kerana pencemaran air cenderung berlaku. Belilah air yang dibungkus atau ditutup elok. 7) Peka dengan situasi Jika anda berkhemah atau sedang beraktiviti di hutan, atau di kawasan air terjun, jangan berlengah untuk keluar jika ada tanda-tanda amaran atau berbahaya. Elakkan berada berhampiran pokok besar, atau cerun. Jika berada di kawasan air terjun, perhatikan tanda-tanda kepala air iaitu lebih banyak dahan atau daun dihanyutkan. Segeralah berpindah ke tempat yang lebih selamat 8) Jangan tinggalkan sampah Ini perkara yang tidak kurang pentingnya untuk dilakukan. Jangan biarkan sampah terbiar tanpa diuruskan dengan betul. Sampah perlu dibuang di tempat yang betul untuk mengelakkan aliran air sungai terhalang dan mengelakkan ia mengundang kedatangan haiwan. Akhir kata, rancanglah percutian dengan bijak dan teliti agar ia dapat menjadi kenangan yang indah untuk dikenang. - Timesofindia Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI