PADA Mei lalu, industri penerbangan dikejutkan dengan insiden gelora udara dahsyat melibatkan pesawat milik Singapore Airlines. Akibat goncangan kuat dialami pesawat itu, seorang penumpang lelaki warga Britain maut manakala 71 yang lain cedera. Sejak kejadian itu, ramai berasa gerun dan sangsi untuk menaiki pesawat, terutamanya jenis Boeing 777-300ER susulan insiden tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Malaysia kongsi detik cemas dalam pesawat Singapore Airlines, pakai ‘seatbelt’ ketika gegaran awal Bagaimanapun, anda kini mungkin dapat menambah keyakinan terhadap pesawat itu untuk terus membawa penumpang membelah awan biru dengan selamat. Pada 23 Julai 2024, menurut laman sesawang penjejak penerbangan, FlightRadar24, pesawat Boeing 777-300ER tersebut dilaporkan berjaya melengkapkan perjalanan di udara tanpa sebarang isu yang membimbangkan. Penerbangan itu merupakan kali pertama dilakukan sejak ia dibawa pulang dari Bangkok, Thailand ke Singapura. Jurucakap Singapore Airlines berkata penerbangan itu adalah sebahagian daripada ujian untuk menentukan tahap kesediaan pesawat tersebut bagi memasuki semula sektor perkhidmatan komersial. Ia adalah prosedur untuk setiap pesawat yang menjalani penyelenggaraan berat supaya kesemua komponen kapal terbang dapat dipastikan berfungsi dalam keadaan baik. Keadaan di dalam pesawat selepas kejadian gelora udara. Berdasarkan laporan FlightRadar24, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Changi pada pukul 1.50 petang dan seterusnya menuju 400 kilometer (km) ke arah timur. Pesawat tersebut seterusnya membuat beberapa pusingan berhampiran perairan Kalimantan di Indonesia sebelum berpatah balik ke Singapura pada pukul 4 petang. Singapore Airlines berkata ujian penerbangan itu dikendalikan oleh enam juruterbang sambil ditemani pasukan jurutera. "Keselamatan kekal menjadi keutamaan kami. Pesawat ini akan dibenarkan beroperasi hanya selepas pasukan kejuruteraan dan operasi penerbangan syarikat berpuas hati dengan tahap keselamatannya. "Dalam pada itu, proses baik pulih kabin pesawat berusia 16 tahun itu yang rosak akibat insiden gelora udara juga sudah selesai," ujar jurucakap Singapore Airlines ketika dihubungi. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube