MASAK lemak sayur sawi merupakan menu ringkas yang popular di negeri Kelantan. Walaupun cara penyediaannya mudah, namun tak ramai tahu bahawa orang dulu-dulu ada rahsia untuk menjadikan menu ini bertambah sedap. Yanie Che Mat berkongsi cara memasak lemak sawi seperti yang diajarkan oleh ibunya. Bahan-bahan: 1. Sayur sawi 2. Santan 3. Garam 4. Lada 5. Ikan rebus 6. Lada hitam 7. Bawang merah 8. Suhun Ikan rebus dan bawang merah perlu ditumbuk bersama. Menurut ibunya, ikan rebus perlu ditumbuk bersama bawang merah dan lada hitam untuk dimasukkan ke dalam masak lemak sayur sawi. Petua memasukkan ikan rebus ke dalam kuah bertujuan menambahkan lagi rasa lemak pada santan. Bagi menambahkan lagi 'kepaduannya', potong cili hidup dan masukkan ke dalam masakan. Setelah segala bahan seperti suhun dan garam dimasukkan ke dalam periuk, barulah nyalakan api dapur gas. Sebagaimana dipesan ibunya, sentiasa kacau masakan tersebut bagi mengelakkan daripada berlakunya 'pecah minyak'. Selain itu, Yanie turut berpesan kepada tukang masak supaya memastikan kuahnya tidak terlalu cair untuk rasa lebih sedap. Kata Yanie, resipi turun temurun ini masih tetap diingati walaupun ibunya sudah meninggal dunia. Menu tersebut sangat sesuai dimakan bersama nasi panas dan ikan yang digoreng rangup. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube