suria

Dulu berbelas tahun kerja di kafe popular, barista dedah rahsia sedapkan kopi... Siap kongsi formula bancuhan

Barista berpengalaman kongsi cara sediakan kopi yang 'kaw'.

KEBANYAKAN rakyat Malaysia kini bersolidariti memberikan sokongan penuh terhadap gerakan memboikot produk serta jenama mempunyai kaitan dengan Israel.

Kesedaran ini timbul susulan serangan dan kekejaman tentera Zionis ke atas penduduk Palestin.

Namun, bagi pengguna yang sudah terbiasa menggunakan jenama atau barangan yang diboikot mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk membiasakan diri dengan situasi ini.

Salah satu jenama yang diboikot adalah rangkaian kedai kopi popular yang sudah sekian lama bertapak di Malaysia.

Bagi mereka yang mungkin 'ketagih' minuman tersebut, seorang barista yang pernah bekerja di salah satu cawangan kafe itu berkongsi cara membancuh kopi yang tak kurang padunya di Facebook.

Berbekalkan pengalaman bekerja selama berbelas-belas tahun, dia berharap formula bancuhan ciptaannya sendiri ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai khususnya penggemar kopi.

Dua jenis susu digunakan.

Bahan-bahan

1. 1 sudu kecil serbuk Nescafe

2. 2 hingga 4 sudu kecil susu cair

3. 1 atau 2 sudu susu pekat manis

4. Gelas untuk isi padu air 280 hingga 325 mililiter

Cara-cara

1. Kacau semua bahan dalam satu gelas

2. Tuang air panas yang mendidih selepas semua bahan dikacau

3. Boleh juga masukkan satu sudu minyak kelapa dara (untuk perasa almond latte)

Kacau semua bahan sebelum masukkan air mendidih.

Menurut barista ini, air perlu dimasukkan dengan sukatan tiga per empat gelas untuk mendapatkan kepekatan bancuhan sepatutnya.

Jelasnya, kesedapan minuman ini bergantung kepada kesempurnaan warnanya.dan dia memberi contoh warna air di Sungai Pahang.

Bagi penggemar kopi, amatlah disarankan untuk mencuba resipi ini.

Bancuhan ini dikatakan tidak terlalu manis malah sempurna rasa pahit, manis dan lemak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain