SEDANG bersantai-santai menonton televisyen, tiba-tiba dapat panggilan daripada kawan lama yang mahu singgah ke rumah. Dalam waktu yang agak suntuk untuk menyediakan juadah, salah satu menu yang terlintas di minda adalah bihun goreng. Menu ringkas ini paling mudah untuk disediakan, selain menjadi kegemaran ramai baik orang tua mahupun muda. Tetapi jika tak kena gaya, bihun yang digoreng boleh menjadi lembik, terputus-putus dan langsung tidak menarik untuk dijamah. ARTIKEL BERKAITAN: Malu nak jamu orang kalau bihun goreng jadi lembik, putus-putus... Ini tip paling berguna, rupanya kena buat lubang! Untuk mengelakkan anda berdepan dengan situasi ini, jom cuba panduan yang dikongsikan oleh seorang individu yang banyak berkongsi tip masakan di Facebook, Afy Al Habibi. Berikut adalah lima panduan panduan yang dikongsikan beliau untuk menghasilkan bihun goreng yang enak dan elok kejadiannya: 1) Rendam bihun Hanya rendam di dalam air paip biasa sekitar 15 minit. Kalau rendam dengan air panas walaupun sekejap, dibimbangi urat bihun mudah putus dan menjadi kembang. Jika mahu warna merah, gunakan cili kering kisar dan sos cili di dalam tumisan. -Gambar hiasan TikTok 2) Bahan tumisan Untuk menghasilkan bihun yang sedap, rencah tumis tak perlu pun tambah macam-macam sos. Saya suka pelbagaikan rupa bihun. Misalnya kalau nak merah macam cara ibu masak, saya cuma guna cili kering kisar dan sos cili. Untuk bihun putih Singapore, saya suka letak serbuk lada hitam lebih sikit. 3) Tutup kuali Dulu saya tambahkan air tapi urat bihun kembang dan rasa pun terus kurang. Sekarang saya sudah tidak letak air, sebaliknya suka tutup kuali dengan tudung periuk. Cara ini membuatkan bihun cepat melembut dan rupa bihun pun cantik. Hiaskan dengan hirisan cili merah dan daun bawang agar bihun goreng lebih menyelerakan. -Gambar hiasan TikTok 4) Kacau bihun Nak kacau pun ada caranya. Saya suka guna sudip kayu. Balik-balikkan cuma sesekali. Masa balikkan, tak perlu tikam kerat atas urat bihun. Kacau perlahan-lahan dan pastikan api pun guna yang paling perlahan. 5) Hiasan Akhirnya untuk hidangan bihun goreng yang menyelerakan, hiaskan dengan daun bawang, cili dan lain-lain yang sesuai. Saya sarankan guna daun bawang sebab boleh buat rasa bihun lagi naik. Taburan daun sup tu hanya sedikit sudah memadai. Tambahan lagi satu, saya peminat cendawan shitake. Jadi untuk rasa bihun lebih menyengat, bolehlah masukkan cendawan ini sebagai tambahan bersama sayuran lain. Apa pun terpulang kepada citarasa masing-masing. Selamat mencuba! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube