suria

Wanita Nigeria terliur tengok ikan bakar, puji cara penyediaan yang bersih... Netizen cepat buat kerja, siap pelawa datang Bangi!

ikan 1

MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai syurga makanan bukan hanya dalam kalangan orang tempatan, malah pelancong warga asing.

Tidak hairanlah jika ada sebilangan pelancong yang menjadikan Malaysia sebagai 'rumah kedua' mereka kerana sukar melupakan keenakan pelbagai jenis hidangan di negara ini.

Dalam satu video yang tular di TikTok baru-baru ini, seorang wanita dari Nigeria melahirkan kekagumannya apabila melihat cara penyediaan ikan bakar di sebuah restoran di Malaysia yang bukan sahaja menyelerakan tetapi begitu bersih.

Malah wanita yang menggunakan akaun @realmumlaughter itu meluahkan keinginannya untuk menikmati hidangan berkenaan.

"Saya benar-benar mahukan ikan ini. Cuba lihat... bagaimana dia mengambil masa untuk menyediakannya. Lihat perapannya, segalanya begitu kemas.

"Dia menggunakan daun (pisang). Ahh... saya tak tahu nak kata apa sekarang. Apa yang saya nak beritahu, saya mahukan ikan ini dan saya tahu anda pun sama.

ikan 2

Aneka ikan dan sotong bakar di Restoran Mak Kimbong yang menyelerakan.

"Ya Tuhan, begitu bersih sekali cara penyediaannya. Apakah kegunaan daun itu ya? Adakah untuk menghalang ikan melekat pada permukaan alat gril itu?

"Saya sungguh lapar! Dekat mana ni? Ada tak seseorang yang jual seperti ini di Lagos, Nigeria?" tuturnya dalam bahasa Inggeris.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu ringkas tapi ramai tak pandai masak! Ini 5 panduan buat bihun goreng ‘elok kejadian’, enak

Menerusi video tersebut, kelihatan seorang pekerja di restoran berkenaan sedang sibuk menyediakan ikan bakar dengan cekap dan cermat.

Beberapa jenis ikan seperti ikan siakap dan keli dibakar begitu sempurna sebelum dilumurkan pula dengan perapan sambal, menjadikannya begitu menyelerakan.

Video wanita tersebut sehingga kini meraih melebihi 1.7 jumlah tontonan di Tiktok.

Warga maya dari Malaysia turut membanjiri ruangan komen dengan menjawab pertanyaan wanita berkenaan, malah mempelawanya untuk berkunjung ke Malaysia bagi menikmati ikan bakar.

ikan 3

Netizen Malaysia mempelawa wanita berkenaan untuk berkunjung ke Restoran Mak Kimbong.

"Restoran Mak Kimbong di Malaysia. Datanglah sini

"Datanglah ke Malaysia. Ia dipanggil ikan bakar.

"Awak boleh buat sendiri... hanya lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan garam, kemudian bakar.

"Kami panggil ikan bakar. Daun pisang digunakan untuk membangkitkan bau dan rasa," demikian antara komen netizen di dalam bahasa Inggeris.

Sekadar maklumat tambahan, Restoran Mak Kimbong yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor sememangnya terkenal dengan sajian sotong dan ikan Bakar, serta beraneka lauk pauk kampung yang pastinya membangkitkan selera ramai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain