PRODUK sejuk beku seperti nugget sudah menjadi makanan ruji kanak-kanak masa kini. Maklumlah, kesibukan bekerja menyebabkan para ibu memilih makanan sejuk beku sebagai bahan masakan utama kerana mudah disediakan. Anak pun gemar apabila disajikan makanan segera seperti itu. Bagi mengelakkan anak-anak terdedah kepada bahan pengawet, garam dan MSG yang tinggi, apa kata para ibu menghasilkan sendiri nugget ayam di rumah. Resipi perkongsian Che Ros ini bukan sahaja mudah, malah para ibu boleh mengawal kadar penggunaan bahan perasa tambahan. Paling penting, rasanya sedap dan enak seperti produk dalam pasaran. Bahan-bahan utama yang diperlukan. Bahan-bahan: 4 biji bawang besar 5 ulas bawang putih 400g isi ayam 1 biji telur Sedikit garam 1 sudu lada hitam 1 sudu lada putih Sedikit air 2 sudu tepung jagung 1 cawan tepung serbaguna Cara penyediaan: 1. Kisar isi ayam bersama bawang besar, bawang putih, telur dan tepung jagung sehingga lumat. 2. Kemudian tambahkan lada hitam, lada putih dan garam. Gaul sehingga sebati. 3. Sapu minyak pada loyang dan masukkan adunan tadi. 4. Kukus selama 30 minit. 5. Setelah siap kukus, angkat dan potong mengikut citarasa masing-masing. Boleh sejukkan dalam peti sejuk terlebih dahulu. 6. Bancuh tepung serbaguna dengan sedikit air, pastikan tidak terlalu likat atau cair dan sesuai untuk salutan. 7. Kemudian celup dan goreng adunan dalam minyak yang panas. Angkat apabila kekuningan dan sedia untuk dihidangkan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube