suria

Rupanya memang ada rahsia! Akhirnya jumpa juga cara masak pisang goreng sedap, rangup macam beli di gerai

Pisang goreng pasti lebih rangup dengan menggunakan petua ini.

PISANG goreng merupakan antara menu popular untuk hidangan minum petang.

Namun acap kali apabila disediakan di rumah, ia tidak serangup seperti yang dibeli di kedai, apakah rahsianya?

Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Nur Masri, ada dikongsikan cara untuk menjadikan pisang goreng air tangan sendiri lebih rangup ketika dijamah.

Ayuh kita lihat bagaimana caranya.

Bahan-bahan:

1) Pisang yang sudah dibuang kulit dan dibelah (jenis pisang ikut cita rasa anda)

2) Satu cawan tepung beras

3) Setengah cawan tepung jagung

4) Serbuk kunyit

5) Garam

6) Sebiji telur

7) Satu per empat sudu kecil kapur makan

8) Air secukupnya

Mudah sahaja teknik untuk mendapatkan pisang goreng rangup.

Cara membuatnya:

1) Campurkan semua bahan di dalam satu bekas dan gaul dengan sebati.

2) Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair, biar 'sedang-sedang' sahaja supaya tepung bersalut elok dengan pisang.

3) Mula panaskan minyak.

4) Ambil sedikit bancuhan daripada bekas dan masukkan ke dalam gelas, tambah sedikit air supaya ia menjadi cair.

5) Kemudian tuangkan ke dalam minyak yang sudah panas, ia akan membentuk serdak rangup yang halus.

6) Celupkan pisang ke dalam bancuhan dan seterusnya letakkan di atas serdak yang terbentuk tadi.

7) Akhir sekali, terbalikkan pisang, goreng sehingga masak sepenuhnya. Siap!

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat. - Nur Masri

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan