HIDANGAN turun-temurun pastinya istimewa kerana ia kekal relevan seiring peredaran waktu. Tidak kisah walau seringkas mana juadah yang diturunkan daripada ibu bapa atau moyang terdahulu, ia tetap mempunyai magis tersendiri. Melalui satu hantaran di laman Facebook oleh Yayar B. Awang Noh, ada dikongsikan cara menyediakan ayam masak kicap yang mudah tetapi lazat, besar kemungkinan berkali-kali anda akan menambah nasi. "Saya belajar resipi ini daripada arwah ibu," ujar Yayar. Langkah mudah menyediakan ayam masak kicap. Bahan-bahan: 1) Seekor ayam yang sudah dipotong kecil 2) Satu senduk cili kisar 3) Tiga sudu sos cili 4) Tiga sudu sos tomato 5) Dua sudu sos tiram 6) Tiga sudu kicap pekat 7) Satu hingga dua biji bawang besar yang sudah dihiris bulat 8) Cili besar yang sudah dihiris Bahan untuk ditumbuk: 1) Dua batang serai yang sudah dihiris nipis 2) Satu inci halia 3) Enam ulas bawang putih ARTIKEL BERKAITAN: Lauk ringkas tapi sedap sampai licin pinggan! Daging goreng ketumbar pembangkit selera makan dengan nasi putih Cara membuatnya: 1) Gaul ayam yang sudah dipotong dan dicuci dengan sedikit garam serta kunyit. 2) Kemudian goreng ayam tersebut, tetapi jangan terlalu garing, apabila sudah siap ketepikan. 3) Seterusnya proses untuk membuat kuah kicap, tumis bahan tumbuk sehingga menjadi keperangan, selepas itu masukkan cili kisar. 4) Tumiskan cili kisar sehingga masak, kemudian masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. 5) Selepas itu perasakan dengan garam, bahan perasa dan gula. 6) Jangan lupa masukkan bawang besar dan cili besar. 7) Akhir sekali, masukkan ayam goreng ke dalam kuah kicap, siap! Selamat mencuba dan semoga bermanfaat! - Yayar B. Awang Noh Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube