suria

Nostalgia kawan sekolah bawa tuah... Hidangan kari ketam ala India paling menambat selera!

Rozelinda Mustapa (gambar kiri) menyediakan masakan kari ketam ala India. -Foto Low Lay Phon/The Star

HIDANGAN kari ketam ala India berjaya memenangi hati juri dalam pertandingan memasak peringkat akhir RASA x BABA'S 'Kisah Kari Ku' yang berlangsung di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Individu bertuah, Rozelinda Mustapa atau senang disapa Kak Zel dilihat tersenyum lebar apabila membawa pulang hadiah utama iaitu wang berjumlah RM5,000, menewaskan lima finalis lain.

Menurut Kak Zel, masakan istimewa dan juga meliurkan itu diinspirasikan oleh rakan karibnya yang berbangsa India, bernama Guna.

"Saya mula jatuh hati dengan hidangan kari India sejak di bangku sekolah pada tahun 80-an, Guna yang perkenalkan dekat saya.

"Kalau nak tahu, Guna ni selalu bawa bekal tosei dan kari, tapi dia kerap tak habis makan, jadi saya yang akan tolong licinkan setiap kali waktu rehat.

Rozelinda Mustapa (dua dari kiri) menyambut kemenangannya bersama keluarga.

"Selepas makan, tangan saya mesti berbau kari, melekat sampai balik rumah. Guna cakap ini adalah petanda kari yang dimasak itu asli dan pekat rempahnya.

"Bagi mengenang nostalgia, saya memilih untuk mengetengahkan kari ketam ala India dalam pertandingan ini, Alhamdulillah ia kini menjadi memori baharu yang manis untuk saya abadikan," ujar Kak Zel.

Dalam pada itu, Kak Zel turut memberikan penghargaan kepada rempah kari BABA'S selaku bahan utama dalam resipinya yang membantu menambat cita rasa juri.

"Saya juga harus berterima kasih kepada BABA'S, serbuk rempahnya sedikit sebanyak menjadikan kari saya 'piau' seperti bekal yang dibawa Guna pada suatu masa dahulu.

"Zaman sudah berubah, nak dapatkan kari yang authentic seperti dulu bukan senang. Nasib baik ada BABA'S dengan rangkaian rempah ratusnya yang banyak, memang penyelamat, kari auto menjadi," kata Kak Zel.

Rozelinda Mustapa beraksi dengan penuh fokus dan tekun.

Tiga juri berkaliber dipilih untuk menilai juadah yang dipersembahkan peserta dalam pertandingan ini, terdiri daripada cef selebriti, Adu Amran; Ketua Pemasaran BABA'S, Azrain Mohamad dan Pengurus Editor RASA, Susi Emmarini.

Ketika memberikan maklum balas, Cef Adu Amran memuji keberanian Kak Zel untuk melakukan modifikasi dalam masakannya.

"Kari India kebiasaannya tiada santan, tapi saya perasan awak tetap masukkan, mungkin untuk sesuaikan dengan gaya kari Melayu.

"Saya suka cara awak mempelbagaikan, tetapi pada waktu sama mengekalkan identiti daripada segi rasa untuk kedua-dua jenis kari itu," ujar Cef Adu Amran.

Seterusnya, Azrain Mohamad mengakui barisan juri memberikan penelitian serapi-rapinya ketika menentukan pemenang memandangkan setiap peserta menampilkan persaingan yang amat sengit.

Azrain Mohamad menyampaikan sepatah dua kata sebelum pemenang diumumkan.

"Kami lakukan penjurian berdasarkan beberapa kriteria, antaranya kreativiti dan persembahan hidangan, penggunaan produk BABA'S, aspek kebersihan dan kisah di sebalik hidangan itu.

"Misalnya bagi aspek kreativiti, peserta diberikan dua bahan misteri iaitu garam masala dan buah merunggai, kesemua bahan wajib dimasukkan ke dalam masakan, terpulang kepada peserta bagaimana nak sesuaikan.

"Saya sesungguhnya kagum, agak sukar untuk kami pilih pemenang, malah juara dengan naib juara juga hanya berbeza satu mata, syabas saya ucapkan kepada semua," ujar Azrain Mohamad.

Tambahnya lagi, pertandingan memasak RASA x BABA'S 'Kisah Kari Ku' adalah yang julung kalinya diadakan.

"Kami anjurkan program ini dengan tujuan untuk menyambut Hari Kari Malaysia yang jatuh pada 30 Julai, kempen bermula sewaktu minggu kemerdekaan pada Ogos lalu dan berterusan hingga 31 Oktober.

Mohd Hilmi membawa hidangan yang dianggap unik oleh ramai.

"Kami di BABA's mahu memartabatkan bermacam jenis masakan kari yang ada di Malaysia, kita di seluruh negara makan juadah ini tanpa mengira bangsa dan agama.

"Alhamdulillah kami terima banyak penyertaan, sekitar 230 lebih, kami ambil masa lama nak saring satu persatu sehingga sampai kepada enam finalis yang berentap hari ini.

"Pemenang dalam pertandingan ini berjaya membuktikan mereka yang terbaik antara kesemuanya," kata Azrain Mohamad.

Sementara itu, tempat kedua yang membawa pulang hadiah wang bernilai RM3,000 menjadi milik Mohd Hilmi Mohd Alias Ahmad dengan hidangan gulai pisang ikan bilis.

"Ini resipi yang diturunkan daripada mak saya, kami gunakan pisang jari buaya, orang Utara mesti kenal punya.

Masakan kari ikan kerapu menjadi kebanggaan Siti Mahirah Awang.

"Dekat sekeliling rumah saya banyak pokok pisang jenis ini, biasanya kalau hari yang kami tak mampu beli ikan, ayam atau daging, mak akan suruh saya ambil pisang ni untuk dibuat gulai.

"Masakan ini mengenyangkan walaupun ringkas dan jarang orang buat. Ia akan sentiasa mengingatkan saya kepada mak, sekarang mak dah tak larat nak masak kerana kurang sihat," terang Hilmi.

Manakala tempat ketiga pula dirangkul Siti Mahirah Awang yang mempamerkan masakan kari ikan kerapu, hadiah wang bernilai RM1,500 menjadi miliknya.

"Saya mahu buktikan warga Kelantan juga boleh masak kari, resipi ini bertukar tangan selama tiga generasi daripada keluarga mak saya yang merupakan orang Pulau Pinang.

"Saya berjinak-jinak untuk masak kari ikan kerapu kerana mahu meringankan beban mak dan abah, biar saya pula 'bersilat' di dapur, mereka hanya perlu berehat," jelas Mahirah atau mesra dipanggil Maher.

Finalis lain menerima hadiah sagu hati iaitu wang RM500, manakala 20 lagi peserta yang terpilih dalam RASA x BABA'S 'Kisah Kari Ku' mendapat RM200, keseluruhan pemberian bagi pertandingan ini berjumlah RM15,000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan