suria

Dah tak perlu risau melancong ke Hong Kong, ini 6 kedai makanan patut anda terjah

Terdapat banyak restoran halal boleh dikunjungi di Hong Kong.

HONG Kong bukan sahaja terkenal sebagai destinasi membeli-belah dan pusat hiburan, tetapi juga semakin dikenali sebagai destinasi mesra Muslim.

Ia seiring dengan galakan daripada Hong Kong Tourism Board agar lebih banyak restoran mendapatkan Pensijilan Halal daripada Perbadanan Pemegang Amanah Dana Komuniti Islam Hong Kong.

Justeru, pelancong Muslim tidak lagi perlu bimbang sekiranya ingin mencari restoran yang menyediakan makanan halal apabila melancong ke destinasi yang terkenal dengan julukan Pearl of The Orient​​ (Mutiara dari Timur) ini.

Untuk segmen Selera kali ini, mStar kongsikan enam restoran halal yang wajib dikunjungi sekiranya anda merancang untuk bercuti di Hong Kong.

Signature Dishes - Goan Fish Curry, Palak Paneer, Chicken Makhni, Rogan Josh

Antara hidangan signatur yang terdapat di Bombay Dreams.

1. Bombay Dreams

Bagi pencinta masakan India dengan sentuhan kontemporari, Bombay Dreams adalah destinasi yang wajib dikunjungi.

Restoran India pertama di Hong Kong yang mendapat pengiktirafan Michelin Guide Bib Gourmand pada 2009 ini menggabungkan masakan India tradisional dengan sentuhan moden.

Restaurant Interior

Suasana Bombay Dreams dengan sentuhan kontemporari.

Menawarkan pelbagai hidangan India yang beraroma, pengunjung dapat merasai kepelbagaian rasa dalam setiap suapan, dari kari berempah hingga ke roti nan yang lembut.

Dengan pensijilan halal, restoran ini memberi pengalaman makan yang mesra Muslim tanpa 'mengorbankan' cita rasa autentik.

Nikmati pelbagai pastri lazat apabila berkunjung ke Imperial Patisserie.

2. Imperial Patisserie

Imperial Patisserie adalah pilihan terbaik bagi pencinta pastri yang mencari hidangan manis halal.

Terkenal dengan pastri yang dibuat daripada bahan-bahan dijamin halal, kedai ini memastikan tiada penggunaan daging atau lemak khinzir dalam sebarang produk mereka.

Dari kek dan biskut hingga ke pastri tradisional Hong Kong, setiap hidangan disediakan dengan penuh teliti dan mengikut piawaian halal yang ketat.

Ini menjadikan Imperial Patisserie tempat sesuai untuk menikmati makanan ringan halal yang sedap sambil berjalan-jalan di sekitar Central Market.

Dim Sum (1)

Menu Dim Sum yang terdapat di Kantin Pusat Islam.

3. Kantin Pusat Islam

Bagi penggemar dim sum, Kantin Pusat Islam adalah destinasi yang tidak boleh ketinggalan untuk dikunjungi.

Terletak di dalam Pusat Islam Osman Ramju Sadick, restoran ini menawarkan pelbagai pilihan dim sum halal yang segar dan lazat.

Salah satu tempat makan halal popular di kalangan penduduk Muslim tempatan dan pelancong, restoran ini juga menyajikan hidangan Cina halal dengan harga berpatutan dan penuh rasa.

Pastikan anda mencuba hidangan dim sum yang menjadi kegemaran ramai, bersama sup panas atau hidangan nasi goreng.

Pho Bo Wagyu with Roasted Bone Marrow (1)

Pho Bo Wagyu dengan Sumsum Tulang Panggang.

4. Mamtom

Bagi mereka yang ingin mencuba masakan Vietnam, Mamtom adalah pilihan tepat untuk anda rasai.

Menawarkan rasa yang penuh dengan herba dan rempah, restoran ini menyediakan hidangan Vietnam yang menyelerakan dan halal.

Nikmati keenakan masakan Vietnam yang unik sambil merasai kehangatan budaya dan tradisi tempatan.

Khao Soi (1)

Khao Soi merupakan antara menu yang terdapat di Mamtom.

5. Marouf & Puff Bake

Terletak berhampiran Masjid Kowloon, Marouf and Puff Bake adalah sebuah kafe menawarkan pilihan kopi yang dibuat menggunakan biji kopi khas Marouf.

Selain kopi, kafe ini turut menyajikan pastri segar baru dibakar seperti croissant dan tart telur yang lazat.

Makan sambil menikmati secawan kopi di kafe ini bukan sahaja memberi pengalaman menyenangkan, tetapi suasana mesra bagi pelancong Muslim mencari makanan halal.

PASTEAKO facade

Restoran Pasteako menyediakan hidangan menu Itali.

6. Pasteako

Bagi penggemar masakan Itali, Pasteako adalah pilihan yang tepat untuk anda kunjungi.

Restoran Itali ini baru-baru ini mendapat pengiktirafan halal dan terkenal dengan keistimewaan dalam pembuatan pasta buatan sendiri.

Dengan pelbagai jenis pasta dan sos boleh dipilih, ditambah dengan stik daging dikeringkan selama 21 hari, Pasteako menawarkan pengalaman masakan Itali yang autentik dan halal.

Steak with Pasta

Steak dihidangkan bersama pasta.

Dengan banyak restoran yang kini memperoleh pensijilan halal, pelancong Muslim kini dapat menikmati pelbagai masakan dari pelbagai negara tanpa bimbang mengenai bahan yang digunakan.

Dari masakan India yang kaya dengan rempah hingga ke pastri lembut, setiap restoran halal di Hong Kong memberikan peluang untuk menikmati cita rasa yang asli dan penuh keunikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain