suria

Anak Sharifah Shahirah pindah ke Pulau Tioman selepas berkahwin, tiada masalah hidup cara kampung

SELEPAS mendirikan rumah tangga, penyanyi Tallisya akan berpindah ke kampung halaman suaminya, Mohd Zulhisyam di Pulau Tioman, Pahang sekali gus meninggalkan kehidupan di bandar.

Tallisya atau Allisya Tahir, 24, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menjalani kehidupan di kampung memandangkan Pulau Tioman adalah salah satu destinasi kegemarannya sejak dahulu.

"Sebagai isteri tempatnya di sisi suami, jadi saya kena ikut suami ke Pulau Tioman. Lagipun buat masa sekarang saya memang tidak bekerja dan boleh menikmati keindahan pantai setiap hari.

"Sebenarnya Pulau Tioman memang lokasi kegemaran saya dan tak sangka pula bertemu jodoh dengan orang sana," katanya.

Tambah Tallisya yang juga anak sulung penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah, sekiranya dia mempunyai sebarang tawaran di Kuala Lumpur, ia bukan masalah untuk berulang-alik memandangkan Pulau Tioman turut mempunyai akses kapal terbang yang tidak mengambil masa lama.

Bercakap mengenai perancangan anak, Tallisya berkata, dia dan suami menyerahkan perkara itu kepada rezeki.

"Setakat ini perancangan untuk anak itu belum ada lagi tapi kalau ada rezeki lebih awal kami terima," katanya.

Untuk rekod, Tallisya dan Zulhisyam berkahwin pada 11 November lalu.

TONTON VIDEO PENUH YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi