suria

“I like her”… Hattan puji Aina Abdul, ada bakat tapi sayangnya belum cukup

UNTUK kekal releven dalam industri muzik tanah air, penyanyi Datuk Hattan menyarankan agar penyanyi baharu tampil dengan album mereka sendiri.

Meskipun kini dunia digital menguasai pasaran, Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 59, berkata setiap penyanyi harus memasang impian untuk menghasilkan album nyanyian mereka.

Mengambil contoh penyanyi Aina Abdul, Hattan mengakui kagum dengan bakat bintang itu dan memintanya tampil dengan album penuh.

“Dulu bezanya kami ada album muzik, orang simpan dan akan putar... orang akan hargai setiap karya kita. Walaupun sekarang ini zaman media sosial tapi ia akan pergi macam tu saja, contohnya kalau orang tak minat mereka akan scroll lagu tu.

“Setiap penyanyi harus ada album dan nyanyi lagu sendiri, suka atau tidak kena ada album sendiri kalau tak sayang macam Aina Abdul sebab dia ada bakat yang baik,” kata Hattan kepada mStar.

Dalam pada itu Hattan turut memberi pandangan peribadi meminta supaya Aina Abdul menghasilkan album untuk peminatnya.

“Saya pernah pergi persembahannya di Istana Budaya dulu, suara dia sangat bagus tapi sayang tiada album dan nyanyi lagu orang, Aina ni saya tahu dia cuba macam-macam pertandingan dan dia sangat menghormati orang... saya suka dia!” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Datuk Hattan bersama Datuk Awie, Ella dan Ziana Zain terpilih untuk menjayakan Konsert Rakyat yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semperna penganjuran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama yang diadakan secara percuma pada Ahad, 24 September 2023, jam 8.30 malam di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.

TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi