GURU vokal iaitu Adzrin Adzhar berpendapat penyanyi Aina Abdul tidak dapat memberikan persembahan terbaik sehingga gagal mengekalkan trofi vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) adalah disebabkan oleh cadangan netizen.
Ini kerana Aina terlalu mendengar kata netizen untuk tidak memberikan senyuman semasa persembahan sehingga vokal penyanyi lagu Puas Sudah itu kedengaran kasar.
“Apa yang berlaku pada Aina Abdul pada tahun ini yang menyebabkan dia tidak dapat buat persembahan terbaik adalah... saya salahkan netizen.
“Untuk tahun ini saya nampak dia nak jadi di luar kotak sehingga dia tinggalkan semua senyuman dia. Dia cuba bawa mood sangat ‘dark’,” katanya kepada mStar.
Dalam perkembangan lain, Adzrin memuji kehebatan vokal yang ditunjukkan oleh Ernie Zakri melalui lagu Aura.
“Ernie sangat kemas. Dia guna semua jenis vokal dan pindahkan ia dengan kemas sekali. Vokal terbaik pada malam itu memang sepatutnya dia. Ernie orang yang tepat dan sesuai,” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI