PENERBIT Mejar David Teo bakal melepaskan legasi syarikat produksi filem miliknya iaitu Metrowealth International Group (MIG) kepada dua anaknya iaitu Jason dan Jackhu.
Kata David atau Teo Chew Huat, 60, dia kini tidak lagi aktif seperti dahulu, sebaliknya memantau perkembangan syarikat yang diuruskan oleh anak-anak.
“Sekarang ini saya memang cuba untuk tampilkan anak saya kedepan cuma pengalaman komunikasi ambil masa sikit, sekarang ini saya akan bantu anak saya risau mereka ada buat silap dan harap memang akan lepaskan kepada mereka nanti.
“Saya sudah turun ilmu kepada mereka (anak) sebanyak 50 peratus, Jason sudah lima tahun bekerja dan Jackhu baru dua tahun saja jadi pengalaman kurang… saya sekarang ni hanya pantau mereka saja tak lagi macam dulu,” kata David kepada mStar.
Dalam pada itu, David berkata kehidupannya kini jauh lebih tenang dan fokusnya kini tidak tertumpu kepada kerja sebaliknya bercuti sambil melakukan kerja agamanya.
“Saya rasa tenang dan kalau hati tenang baru la senang, biar mereka(anak) lalui tekanan, cabaran atau masalah dahulu biar belajar daripada pengalaman,” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI