suria

Tahi cicak termasuk kategori najis mutawassitah... Ramai masih keliru status wuduk selepas terpijak

Wuduk tidak terbatal jika terkena tahi cicak. -Gambar hiasan

MASALAH tahi cicak bukan sahaja berlaku di rumah kita, malah ia juga merupakan satu situasi biasa di masjid.

Pastinya ramai jemaah yang pernah terpijak atau terkena tahi cicak sehingga mereka keliru akan status wuduk untuk meneruskan solat.

Menjawab hal itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah al-Bakri berkata, tahi cicak secara umumnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah.

Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.

Sekalipun pada asalnya mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.

Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya 'Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. [Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab; Nihayah al-Muhtaj]

Zubir adam 24, spread a 'Sejadah' ( pray mats) in a mosque. A muslims will performs Prayer Solat Tarawih is a type of circumcision performed during Ramadan. AZLINA ABDULLAH /The  Star

Kita perlu memastikan tempat solat sentiasa bersih. -Gambar hiasan

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.

2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.

3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.

4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.

5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. [Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah]

Muslim recite the doa before Friday prayer at Al-Imam Ash-Shafie mosque in Taman Maluri during the Recovery Movement Control Order on Friday. AZMAN GHANI / The Star

Tahi cicak tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. -Gambar hiasan

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.

Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 cara ini buat cicak ‘benci’ rumah anda! Salah satunya buat sendiri semburan, cuma guna 3 bahan mudah dan murah

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit hati tahi bersepah, rupanya ada banyak cara nak DIY semburan halau cicak! Nombor 4 paling tak sangka

Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat.

Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

Oleh kerana tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Dalam situasi di dalam ruang solat (surau/masjid) sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat.

Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam ‘Umum al-Balwa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain