MENAHAN diri daripada membuang air pasti menyebabkan seseorang itu tidak khusyuk untuk menunaikan ibadah. Situasi ini mungkin pernah dialami oleh ramai orang, namun bagaimanakah hukumnya di sisi agama Islam? Berikut merupakan penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu itu: Perlu difahami khusyuk terbahagi kepada dua iaitu: 1. Khusyuk hati - Kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, daripada awal hingga selesai. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan. 2. Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak sibuk dengan gerakan yang sia-sia. Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan satu hadis daripada Aisyah R.anha, Rasulullah SAW bersabda: Soal kebersihan dalam ibadah tidak boleh dipandang ringan. -Gambar hiasan Maksudnya: "Tidak ada solat ketika hadirnya makanan, dan tidak ada solat juga dalam keadaan seseorang itu menahan diri daripada membuang air kecil dan besar." [Riwayat Muslim] Setiap sesuatu yang menyibukkan manusia daripada hadirnya kekhusyukan dalam hatinya ketika solat, maka hendaklah dia menyelesaikan dahulu urusannya supaya dia boleh solat dalam keadaan khusyuk. Begitu juga dengan perbuatan menahan diri daripada membuang air kecil dan besar, ianya sangat menganggu kekhusyukan di dalam solat. Membuang air kecil dan besar merupakan hajat yang perlu diselesaikan dengan segera tanpa perlu ditangguhkan. Solat dalam keadaan menahannya akan merosakkan ibadah itu sendiri yang mungkin menyebabkan rukun-rukun qauli dan fi’li tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan sempurna. Berkemungkinan juga disebabkan dia menahan, akan menyebabkan najis tersebut terkeluar sedikit dan mengenai pakaiannya. Kesimpulan Sebagai kesimpulan, solat dalam keadaan menahan diri daripada membuang air kecil dan besar, solatnya sah tetapi hukumnya makruh. Dinasihatkan supaya selesaikan dahulu urusan membuang hajat sebelum meneruskan apa-apa ibadah, kerana kekhusyukan dalam melakukan ibadah sangat penting dalam kehidupan seorang hamba. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube