MAKANAN merupakan antara rezeki dan juga nikmat yang Allah kurniakan kepada setiap hamba-Nya.
Sejak kecil, kita dididik agar menjaga adab ketika makan sebagai salah satu cara untuk menghormati rezeki.
Antara yang paling kerap kita dengar tentunya pesanan daripada ibu ayah atau orang tua-tua supaya tidak bercakap ketika makan.
Namun, mungkin ramai yang salah tanggapan mengenai hal itu kerana bercakap ketika makan sebenarnya dianjurkan dalam ajaran Islam.
Perkara itu juga pernah dijelaskan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman sesawang Buku Dr Zulkifli.
Menurut Dr Zulkifli, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar mempunyai satu bab khusus yang menerangkan sunnah bercakap dan berbual-bual sambil makan.
Makanan dianggap sebagai satu bentuk rezeki kurniaan Allah buat hamba-Nya. -Gambar hiasan
Di antara dalil yang dijadikan sebagai sandaran kepada sunnah bercakap/berbual sambil makan ialah hadis yang diriwayatkan Jabir.
Maksudnya: “Nabi SAW meminta kepada ahli keluarganya lauk. Mereka menjawab: ‘Kami tidak mempunyai lauk melainkan cuka.’ Lalu, Baginda meminta supaya dibawakan kepadanya cuka itu dan Baginda pun memakannya sambil bersabda: ‘Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka.’” [Riwayat Muslim]
ARTIKEL BERKAITAN: Terkejar-kejar nak solat tapi tahan kencing... Ini nasihat ulama
Seterusnya, Imam al-Nawawi menukilkan pula kenyataan Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ bahawa termasuk dalam adab-adab makan adalah bercakap perkara baik semasa makan dan bercerita tentang kisah orang-orang soleh berkaitan makanan dan lain-lain. [Lihat al-Azkar]
Tambahnya lagi, turut dinukilkan bahawa Ibn al-Jauzi ada menyebutkan kenyataan yang senada dengan Imam al-Ghazali di atas, yang mana beliau menyebutkan, salah satu adab makan adalah tidak berdiam diri ketika makan, tetapi berbicara perkara baik dan menceritakan kisah orang-orang soleh berkaitan makanan. [Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf]
Kesimpulannya
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah berbual-bual atau bercakap-cakap ketika makan tidaklah dilarang, sebaliknya kita dianjurkan atau disunatkan untuk bercakap-cakap perkara yang baik ketika makan dan begitu juga bercerita tentang kisah orang-orang soleh.
Apatah lagi, dengan berbual-bual atau bersembang-sembang itu akan menjadikan suasana makan lebih menyeronokkan, di samping mengeratkan lagi ukhuwah sesama Muslim dan juga menjadi salah satu cara untuk saling mengingatkan tentang kebaikan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube