OBESITI merupakan kondisi kesihatan serius dan dikaitkan dengan persekitaran yang merangkumi kebimbangan estetik, masalah psikologi dan fisiologi. Pada 2013, Persatuan Perubatan Amerika Syarikat secara rasmi telah mengiktiraf obesiti sebagai satu penyakit dan seterusnya, oleh penyedia penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Dalam sebahagian besar sejarah manusia, hanya kelompok yang benar- benar berkemampuan dapat menikmati makanan sehingga menyebabkan berat badan meningkat. Dengan itu, berat badan berlebihan dan obesiti dilihat sebagai tanda kejayaan, kekayaan dan status sosial yang tinggi. Tetapi dengan perkembangan era teknologi, industri penghasilan makanan menjadi lebih mudah dan murah, sekali gus menjadikan makanan senang untuk didapati. Pada masa sama, bidang pekerjaan yang lebih terikat di dalam pejabat dan tidak aktif membuatkan pekerja kurang menggunakan tenaga atau melakukan aktiviti fizikal. Oleh itu, tidak menghairankan apabila penyakit berat badan berlebihan dan obesiti telah menjadi semakin berleluasa dan ironinya ialah ia hadir bersama dengan masalah kurang zat dan malnutrisi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dunia sekarang sedang mengalami wabak obesiti dengan jumlah individu obes meningkat tiga kali ganda sejak 1975, manakala bilangan kanak-kanak dan remaja obes berumur lima hingga 19 tahun pula meningkat 10 kali ganda dalam tempoh yang sama. Hampir setiap dua daripada lima individu (39%) berumur 18 tahun ke atas mengalami berat badan berlebihan pada 2016, dan 13% berdepan masalah obesiti. Sementara itu, Malaysia memegang gelaran negara yang mempunyai kadar obesiti dan berat badan berlebihan yang paling tinggi di rantau Asia yang dihuni 60% penduduk di dunia. Hampir dua pertiga penduduk negara kita mengalami berat badan berlebihan atau obes, dengan pecahan 64% lelaki dan 65% wanita berada dalam kategori ini. Bukan mudah untuk menangani masalah ini memandangkan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi corak pemakanan dan senaman, oleh itu mendapatkan bantuan profesional boleh menjadi titik permulaan yang baik. Topik sensitif Pakar perunding endokrinologi Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa memberitahu, biasanya pesakit akan dirujuk ke klinik obesiti mingguannya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). "Sesetengah pesakit datang kerana mereka menyedari masalah berat badan mereka dan mahu melakukan sesuatu mengenainya. Dr Ameen berkata perlu ada cara untuk mendekati pesakit obesiti. “Namun sudah tentu, kebanyakan pesakit akan dirujuk ke pakar perubatan yang lain bagi masalah yang berkaitan dengan berat badan, seperti sakit lutut, sakit belakang, kencing manis dan kegagalan jantung yang berulang,” jelas beliau yang merupakan Ketua Jabatan Perubatan PPUKM. Tambah beliau: "Kami benar-benar meluangkan banyak masa memberi nasihat kepada pesakit kerana mereka boleh menjadi sangat sensitif, jadi anda perlu bercakap dengan mereka, bertanyakan pelbagai soalan kepada mereka dan biarkan mereka meluahkan perasaan. "Sesi berbual dengan pesakit baharu boleh mengambil masa sehingga satu jam atau satu setengah jam." Pengamal Perubatan Am (GP) Datuk Dr Ameen Shaik Mohamed bersetuju dengan pandangan bahawa mendekati pesakit berkaitan berat badan perlu dilakukan dengan teliti. "Sesetengah pesakit akan tersinggung apabila anda bercakap tentang berat badan mereka, jadi kita perlu tahu bagaimana menangani atau berbincang dengan pesakit. “Jika pesakit datang untuk batuk biasa untuk kali pertama, kami tidak akan bercakap tentang berat badan mereka. “Tetapi jika mereka kerap kembali kerana batuk dan selesema, kita boleh bertanya sama ada mereka berdengkur. Dr Norlaila memberitahu pesakit obesiti perlu ada kesediaan untuk berubah. “Dari situ, kita akan menerangkan bahawa salah satu punca berdengkur adalah berat badan berlebihan, yang biasanya tidak diketahui oleh pesakit. “Manakala bagi sesetengah pesakit yang datang dengan penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi agak mudah dikendalikan kerana penyakit ini berkaitan dengan berat badan. “Kita boleh memberitahu mereka, jika ambil ubat ini, berat badan anda akan turun dan sekali gus boleh mengurangkan pengambilan ubat-ubatan lain. “Ini sesuatu yang positif kepada pesakit untuk mendorong mereka mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan berat badan," demikian jelas ketua pegawai eksekutif sebuah kumpulan poliklinik swasta itu. "Kesediaan untuk berubah sangat penting," ujar Dr Norlaila, sambil menambah bahawa sokongan daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan pakar perubatan juga penting. “Mereka perlu berusaha untuknya. Seseorang itu mungkin tidak sedar berat badan mereka telah meningkat, jadi anda perlu memberitahu mereka . Ia bukan rawatan untuk semalaman, jadi mereka perlu bersabar. “Jika tidak ada kenaikan berat badan pada sesi kedua (dengan doktor), itu dikira sudah berjaya. “Sudah tentu saya mahu mereka menurunkan berat badan, walaupun kehilangan hanya satu kilogram, ia adalah sesuatu yang positif." Penurunan berat badan akan konsisten jika mengamalkan tabiat pemakanan yang betul. Perubahan gaya hidup Hakikatnya, penurunan berat badan yang konsisten dan berkekalan boleh berlaku dengan perubahan tabiat pemakanan sihat dan melakukan senaman yang kerap. Menurut Dr Ameen: "Kami merujuk pesakit kepada pakar pemakanan yang akan menasihatkan mereka tentang makanan yang harus diambil. "Sudah tentu, kita tidak boleh menghentikan pesakit daripada mengambil makanan yang mereka gemari, jadi kami minta mereka mengurangkan jumlah pengambilannya." Dr Norlaila turut bersetuju dan berkata: "Ada beberapa pesakit yang makan nasi lemak ketika sarapan setiap hari, jadi pada dasarnya mereka makan nasi tiga kali sehari. “Jadi saya sarankan supaya mereka mengurangkan makan nasi lemak hanya untuk tiga kali seminggu. “Kebanyakan aduan yang saya terima daripada pesakit ialah mereka akan lapar jika tidak makan. “Jadi saya akan beritahu mereka boleh makan, tetapi perlu memilih makanan yang kurang kalori seperti sayuran dan bukannya nasi." Bagi senaman, Dr Ameen menyatakan bahawa banyak kajian menunjukkan senaman secara kerap boleh membawa kepada penurunan berat badan. "Senaman sangat penting - ia adalah sasaran yang boleh dicapai. “Mulakan dengan senaman ringan, tidak terlalu berat, kemudian tingkatkan intensiti secara beransur-ansur. “Tetapkan sasaran, mungkin untuk kehilangan antara lima hingga 10 peratus berat badan mereka dalam tempoh setahun dan lihat jika pesakit ini mencapai sasaran mereka," katanya sambil menambah bahawa pesakit akan sangat gembira dan bermotivasi apabila mereka mencapai sasaran. Pembedahan bariatrik berfungsi untuk mengecilkan saiz perut. Menurut Dr Norlaila, senaman perlu dilakukan selama 30 minit setiap hari. "Saya tidak mengehadkan untuk hanya senaman tertentu, pesakit boleh lakukan banyak jenis aktiviti, seperti yoga pilates dan sebagainya. "Ia bergantung kepada intensiti dan berapa lama mereka melakukannya - mereka masih boleh membakar kalori." Tambah beliau, ia adalah penting bagi pesakit untuk menyedari perbezaan antara menjadi aktif termasuk aktiviti seperti melakukan kerja rumah dan berjalan, dengan melakukan senaman, yang memerlukan masa yang khusus setiap hari. Bantuan tambahan Pesakit mungkin memerlukan lebih bantuan untuk mengurangkan berat badan mereka, dan ubat-ubatan memainkan peranan. Dr. Norlaila dan Dr. Ameen menyatakan bahawa mereka hanya menyediakan ubat-ubatan apabila pesakit telah membuat perubahan dalam tabiat pemakanan dan rutin senaman kerana ia penting untuk terus mengurangkan berat badan, selain untuk manfaat kesihatan lain. Dr Norlaila menambah bahawa pesakit perlu bersetuju untuk mengambil ubat-ubatan, kerana ada dalam kalangan pesakit yang tidak mahu mengambilnya, manakala Dr Ameen mengatakan bahawa faktor kemampuan kewangan menjadi aspek yang diambil kira kerana pesakit membayar dari poket sendiri untuk membeli ubat-ubatan ini. Menurut Dr Ameen, terdapat pil ubat untuk menurunkan berat badan yang berfungsi dengan menghalang enzim yang memecahkan lemak dalam diet. Lemak yang terkumpul kemudian akan dibuang dari dalam badan menerusi pergerakan usus. Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa sekatan kalori sangat diperlukan kerana ubat ini tidak menghalang penyerapan kalori daripada pengambilan gula dan makanan bukan lemak yang lain. Satu jenis lagi ubat menurunkan berat badan adalah melalui suntikan yang berfungsi sebagai penahan selera makan. Ia biasanya dipreskripsi untuk membantu pesakit obes atau pesakit berlebihan berat badan dengan masalah kesihatan lain untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya. Dr Norlaila menyatakan bahawa ubat-ubatan oral tertentu perlu dihentikan selepas tiga hingga empat bulan, sementara ubat suntikan boleh diambil dengan lebih lama. Dalam senario kes terburuk, pesakit obes morbid atau obes yang mempunyai masalah perubatan yang lain boleh memilih pembedahan bariatrik. Dr Ameen berkata: "Pembedahan bariatrik berfungsi untuk mengurangkan saiz perut dengan mengikatnya, atau mengeluarkan satu bahagian perut. "Ia juga boleh dilakukan dengan mengalihkan usus kecil ke perut kecil dalam prosedur yang dikenali sebagai pembedahan pintasan gastrik." Pembedahan bariatrik pada dasarnya bertujuan untuk menyekat saiz perut supaya pesakit lebih cepat kenyang dan kurang makan.