suria

Awas perokok! Anda terdedah penyakit COPD, punca kematian ke-3 terbanyak di dunia menjelang 2030

Gejala COPD berlaku secara perlahan-lahan, namun ia semakin teruk apabila usia seseorang itu meningkat.

UMUM mengetahui merokok itu amalan berbahaya, namun masih ramai yang meneruskan tabiat itu meskipun telah banyak kempen kesedaran dilakukan malah angka perokok tetap meningkat saban tahun.

Lebih membimbangkan sudah ramai pelajar sekolah yang tanpa segan silu menghisap rokok secara terbuka tanpa memikirkan tentang bahayanya kepada kesihatan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Barah kolorektal popular dalam kalangan lelaki di Malaysia... Ketahui punca dan cara mencegahnya!

Tabiat ini pada akhirnya akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka dan salah satu penyakit yang sedang mengintai golongan ini adalah sekatan pulmonari kronik (COPD).

Lebih 80 peratus punca utama penyakit ini adalah disebabkan merokok dan di seluruh dunia, dipercayai sejumlah 384 juta orang menghidap COPD dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan ia akan menjadi punca kematian ketiga utama menjelang 2030.



Perunding Pulmonologi Intervensi Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosmadi Ismail.

Kajian Beban Penyakit Global menunjukkan COPD sebagai punca ketujuh kematian awal atau pramatang di negara ini pada 2010.

Menjelaskan lanjut mengenai penyakit itu, Perunding Pulmonologi Intervensi Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosmadi Ismail berkata, COPD berlaku disebabkan oleh bronkitis kronik dan emfisema yang merosakkan saluran pernafasan serta tisu pada organ itu.

Bronkitis kronik kebiasaannya dikaitkan dengan batuk berkahak berpanjangan dan menyebabkan otot pada saluran udara dalam paru-paru menyempit serta membengkak dan mengalami keradangan.

Keadaan itu akan menghalang pengaliran masuk dan keluar udara sehingga menyebabkan pesakit berasa sukar bernafas.

"Emfisema pula situasi di mana udara terperangkap di dalamnya disebabkan dinding paru-paru kehilangan sifat elastik sehingga merosakkan pundi-pundi udara dan menyebabkan ruang pertukaran udara terhad.

"Selain merokok, penyakit ini juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran seperti pencermaran serta pekerjaan seseorang seperti tukang masak atau polis trafik yang sentiasa terdedah kepada asap, habuk, bahan kimia dan sebagainya.

"Ramai tidak sedar bahawa COPD adalah penyakit kronik berbahaya tetapi ramai mengabaikannya kerana tidak mengalami sebarang simptom ketara dan biasanya ia diabaikan begitu sahaja," katanya.



Merokok adalah antara punca utama penyebab kepada COPD dalam kalangan pesakit.

Dr Rosmadi berkata, gejala COPD berlaku secara perlahan-lahan, namun ia semakin teruk apabila usia seseorang itu meningkat.

Gejala paling lazim katanya adalah batuk kronik, mengeluarkan kahak, sesak nafas serta mudah semput apabila melakukan aktiviti seperti senaman atau mengangkat barang.

"Sejajar dengan tabiat merokok dan peningkatan usia, gejala ini akan semakin teruk dan saluran pernafasan perlahan-lahan menjadi sempit dan membuatkan pesakit mudah semput biarpun hanya berjalan beberapa langkah kerana paru-paru perlu bekerja lebih kuat.

"Malah ada dalam kalangan pesakit yang sukar menguruskan diri seperti mandi, memakai baju kerana kesukaran bernafas mengehadkan pergerakan mereka," jelasnya.

Dr Rosmadi menjelaskan terdapat beberapa gejala umum yang boleh dikenal pasti sekiranya seseorang mengalami masalah pernafasan, termasuklah;

1. Batuk yang semakin teruk meskipun sudah mengambil pelbagai ubat

2. Rasa tidak selesa atau sakit ketika menarik dan menghembuskan nafas

3. Sesak nafas pada waktu pagi dan bangun tidur

4. Nafas berbunyi berdesir

5. Batuk berkahak perpanjangan



Perbezaan paru-paru yang sihat dan yang mempunyai penyakit COPD.

Dr Rosmadi menjelaskan terdapat pelbagai kaedah merawat pesakit COPD mengikut tahap kesakitannya, namun paling penting katanya, penghidap penyakit itu perlu membuat perubahan gaya hidup demi mengurangkan kesannya terhadap diri mereka.

Bagi perokok katanya, langkah terbaik adalah dengan meninggalkan tabiat tersebut kerana ia dapat membantu memperlahankan kesan COPD daripada menjadi lebih teruk.

"Merokok adalah tentang ketagihan tetapi pesakit juga harus sedar bahawa langkah pantas yang perlu dilakukan adalah tinggalkan tabiat itu. Sekarang sudah banyak hospital yang menyediakan pelbagai rawatan seperti gantian nikotin, ubat kurangkan ketagihan, kaunseling dan sebagainya.

"Pesakit harus sedar bahawa langkah itu sangat penting dan boleh menyelamatkan nyawa mereka kerana COPD ini boleh menjadi akut pada bila-bila masa," jelasnya.

Jelasnya lagi, sebelum memberikan sebarang rawatan, Dr Rosmadi berkata, beberapa kaedah untuk mengesan penyakit tersebut termasuklah memeriksa fungsi paru-paru pesakit, pemeriksaan fizikal, sejarah perubatan serta melalui X-ray.

"Bagi orang yang sudah lama merokok adalah disarankan untuk melakukan ujian saringan ini termasuk ujian hembusan untuk tengok kepantasan dan volume hembusan nafas mereka. Biasanya ujian itu lebih objektif untuk mengdiagnos pesakit," jelasnya.



Batuk adalah antara simptom biasa yang dialami pesakit.

Bagi kes yang masih diperingkat awal, Dr Rosmadi berkata, biasanya ubat sedutan iseperti nhaler atau nebulizer akan diberikan kepada pesakit yang berfungsi untuk mengurangkan masalah sempit saluran udara dan rawatan ini juga digunakan bagi pesakit yang mengalami serangan akut COPD.

Selain itu katanya, rawatan oksigen turut diberikan kepada pesakit yang mengalami tahap oksigen rendah dalam darah atau intubasi bagi kes kecemasan dan akut dalam membantu mereka bernafas dengan lebih baik.

"Diet juga adalah antara kaedah rawatan COPD memandangkan kebanyakan pesakit hilang berat badan yang agak signifikan sehingga mereka tidak mempunyai tenaga untuk bernafas.

"Pemakanan seimbang mampu memberikan pesakit tenaga untuk menjalankan tugas harian dan bernafas dengan lebih baik. Selain itu, stamina pesakit juga boleh ditambah menerusi rehabilitasi pulmonari bagi menguatkan otot pernafasan.

"Vaksin Pneumococcal juga dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pesakit dan suntikan ini amat digalakkan bagi melindungi diri pesakit," katanya.

Jalan terakir bagi membantu pesakit COPD kronik kata Dr Rosmadi adalah menerusi pembedahan di mana bahagian yang mengembang dan menekan paru-paru dibuang bagi membantu pesakit bernafas lebih sempurna dan menambah jangka hayat pesakit.



Penggunaan inhaler antara kaedah rawatan selain nebulizer, vaksin dan pembedahan bagi yang sudah berada pada tahap kronik.

Selain itu, salah satu pilihan rawatan untuk emfisema yang teruk adalah prosedur invasif Bronchoscopic Lung Volume Reduction dengan memasukkan bronkoskop melalui mulut atau hidung bagi mengecutkan paru-paru dari dalam.

"Kita akan masukkan bronkoskop, masuk ke dalam unit paru-paru yang telah kembang untuk mengecutkannya mengunakan kerajang atau teknik stim panas. Hasilnya adalah fungsi paru-paru yang lebih baik, pernafasan lebih mudah," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Rosmadi turut menasihatkan agar kita lebih peka terhadap penjagaan paru-paru termasuklah mengamalkan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat.

Bagi perokok, meninggalkan tabiat itu adalah jalan terbaik selain bagi yang berisiko agar elak berada di tempat sesak serta memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada asap rokok dan pencemaran.

"Musim Covid-19 sekarang ini, golongan berisiko perlu lebih berhati-hati dan elakkan melakukan perkara-perkara yang boleh mendedahkan diri anda kepada bahaya serta penggunaan pelitup muka sangat penting.

"Bagi yang memang sudah mempunyai penyakit berkaitan pernafasan, kena bijak mengawal penyakit serta pastikan berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang masalah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain